Soal mati pun sanggup tipu asal jadi duit

Iklan
Gambar hiasan

SUATU masa Merak Jalanan sangkakan adegan suami isteri mati untuk dapatkan duit bayar hutang hanya lakonan komedi dalam filem Do, Re, Mi, rupa-rupanya pada tahun 2024 ini lebih banyak orang menjadikan soal mati untuk tipu wang orang.

Alkisahnya baru-baru ini dua masjid di Perak dikatakan menjadi mangsa scam seorang waris yang baru kematian bapa. Cerita ini turut tersebar dalam grup WhatsApp masjid di tempat Merak Jalanan.

Menurut empunya cerita, scammer tersebut menghantar mesej kepada imam masjid mengatakan bapanya baru meninggal di hospital. Disebabkan dia baru pindah ke kampung itu, dia pun minta izin untuk kebumikan bapanya di situ.

Iklan
Iklan

Tanpa mengesyaki apa-apa si imam tadi buat pengumuman sebelum solat Jumaat tentang berita kematian anak kariah dan mengarahkan penggali kubur menyediakan liang lahad.

Ketika orang masjid dalam perjalanan mengambil jenazah di hospital, scammer tadi minta tolong bayarkan sedikit bil hospital. Kononnya bil semua sekali RM3,300. Cuma RM1,300 belum dibayar dan dia hanya tolong yang RM300 itu kerana RM1,000 lagi sudah ada dalam tangan.

Imam tadi bersetuju namun berasa pelik kerana scammer tadi minta masukkan wang ke dalam akaun. Bila scammer itu tahu orang masjid sedang ke hospital, dia pun menghilangkan diri.

Iklan

Modus operandi sama turut dialami sebuah lagi masjid di daerah sama. Bezanya masjid yang satu lagi ini telah pindahkan RM1,300 ke akaun waris yang konon bapanya meninggal tadi.

Namun modus operandi terbaharu di Johor lebih ganas lagi. Polis dedahkan satu kes di mana 'ejen insurans' akan mengenal pasti individu tertentu bagi membuat caruman tanpa pengetahuan mangsa sebelum membunuh mangsa bagi membuat tuntutan insurans nyawa berjumlah RM500,000.

Ia susulan kes kemalangan jalan raya yang 'direka' pada awal Mei lalu. Semua insiden ini menggambarkan jenayah penipuan terus berleluasa, sehinggakan soal mati pun sanggup dijadikan modal asalkan dapat wang.

Iklan