TANGERANG - Berang kerana menunggu terlalu lama bagi menyaksikan persembahan artis, sebuah konsert di sini berakhir huru-hara apabila peminat bertindak membakar pentas.
Media tempatan melaporkan kejadian berlaku di Lapangan Bola Pasar Kemis, Kabupaten Tangerang, Banten, pada Ahad sempena Konsert Muzik Lentera Festival 2024.
Insiden itu menyebabkan bukan sahaja pentas utama terbakar sebaliknya turut memusnahkan sistem bunyi yang dipasang di belakang pentas.
Penonton ternyata kecewa kerana tiket konsert berkenaan telah mereka beli sejak enam bulan yang lalu.
Menurut Ketua Polis Tangerang, Kombes Pol Baktiar Joko Mujiono kejadian berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab penganjur yang gagal mengawal keadaan.
"Padahal penganjur tidak memaklumkan bahawa konsert itu batal," katanya pada Isnin.
Sementara itu, wakil artis menjelaskan bahawa mereka tidak muncul pada malam itu kerana peganjur tidak membuat bayaran kepada mereka.
"Mohon maaf kepada peminat semua, bayaran kepada kami tidak dipenuhi.
"Kerana penganjur berjanji untuk membayar baki bayaran persembahan sebanyak 50 peratus lagi pada hari persembahan, namun sebaliknya berlaku," ujar bahagian pengurus artis Guyon Waton.
Difahamkan antara artis yang bakal membuat persembahan pada malam itu adalah dua bintang popular iaitu Guyon Waton dan Ndx Aka.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!