SHAH ALAM - Setiap individu perlu memberi keutamaan terhadap kesihatan mental bagi memastikan kehidupan mereka lebih produktif dan tenang dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Ahli Psikologi Klinikal, Yasmin Khan berkata, jika seseorang itu mempunyai masalah, mereka perlu segera mendapatkan bantuan daripada orang terdekat lebih-lebih lagi jika melibatkan perihal pekerjaan.
"Jika seseorang itu menghadapi situasi sukar terutama kehidupan peribadi, jangan takut suarakan kepada orang terdekat daripada memendamkan masalah seorang diri.
"Kadangkala masalah dihadapi menyebabkan kita kurang produktif terutama di pejabat menyebabkan sukar menyelesaikan kerja selain lebih selesa untuk tidak meluahkan sebarang isu kepada majikan atau ketua masing-masing,” katanya dalam program bual bicara She Leads Siri Ketiga bertajuk Elevating The Fitness of Your Mind and Body pada Selasa.
Turut hadir pada program tersebut ialah jurulatih kecergasan, Kevin Zahari.
Mengulas lanjut, Yasmin berkata, pemakanan sihat juga mampu menjana minda lebih cerdas dalam menjalani keseimbangan kehidupan.
Tambahnya, utamakan diri sendiri dalam rutin kehidupan dan menikmati setiap perkara bagi menghindari masalah tekanan perasaan.
"Kalau tanya mengenai makanan, saya sangat suka makanan. Makanlah apa sahaja tetapi kita perlu pastikan ia tidak memudaratkan kesihatan kerana makanan juga penting bagi memastikan kesihatan mental berada dalam keadaan baik,” katanya.