KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV), cadangan membenarkan bukan bumiputera menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan nilai ringgit antara perkara yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, kesemua soalan berkenaan akan diajukan pada sesi Soal Jawab Lisan.
Isu PLV dibangkitkan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) kepada Menteri Dalam Negeri yang mahu jaminan bahawa pelaksanaan pelan itu tidak akan menggugat keselamatan rakyat dan negara.
Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk membenarkan bukan bumiputera menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan meminda Akta UiTM 1976.
Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) pula bertanyakan soalan kepada Menteri Kewangan sejauh mana kesediaan kerajaan untuk mengenakan penalti susulan prestasi perkhidmatan perbankan yang kerap tergendala sehingga menyusahkan pengguna.
Usai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan bagi Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 untuk bacaan kali kedua daripada Menteri Pengangkutan.
Turut tersenarai dalam aturan mesyuarat hari ini ialah pembentangan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024, juga daripada Menteri Pengangkutan.
Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!