KUALA LUMPUR - Berselindung di sebalik perniagaan aksesori telefon bimbit, kedai dobi dan gunting rambut, itu antara kegiatan dijalankan sindiket pemalsuan dokumen dan pengemis warga asing yang dibongkar dalam operasi di beberapa premis sekitar ibu kota pada Selasa.
Lebih mengejutkan sindiket tersebut turut memberikan ubat batuk kepada kanak-kanak untuk menidurkan mereka ketika dibawa mengemis di beberapa lokasi sekitar ibu kota.
Ia susulan botol ubat batuk ditemukan dalam pemeriksaan dijalankan.
Pemeriksaan mendapati perniagaan yang dijalankan itu sekadar mengaburi mata pihak berkuasa selepas mendapati terdapat puluhan pasport dipercayai memiliki cop palsu di bahagian belakang premis terbabit.
Tinjauan ketika operasi, bahagian tingkat atas premis berkenaan terdapat beberapa unit bilik yang disewa warga asing dengan kadar RM800 sebulan dan memuatkan kira-kira lapan individu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dijalankan susulan maklumat dan risikan yang dijalankan lebih enam bulan di lokasi kejadian.
"Operasi dijalankan berjaya menahan kesemua individu berumur antara 10 bulan hingga 59 tahun terdiri daripada 44 lelaki, 22 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan warga Pakistan.
"Selain itu, turut ditahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita yang mana masing-masing merupakan warga India dan Indonesia," katanya pada Selasa.
Katanya, siasatan mendapati lokasi ini merupakan pusat kepada sindiket pengemis warga asing susulan penemuan beberapa tong dipercayai digunakan untuk mengemis ketika pemeriksaan dijalankan.
"Selain itu sindiket turut didapati menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen susulan penemuan puluhan pasport ketika serbuan dijalankan.
"Kesemua mereka ini dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12 (1)(f) Akta Pasport 1966.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!