KAJANG - Polis yakin akan dapat mengenal pasti suspek kes samun barangan kemas dianggarkan bernilai RM3.2 juta di sebuah pusat beli-belah di Kajang di sini, pada 17 Jun lalu dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit.
"Buat masa ini, masih belum ada tangkapan dilakukan, namun kita percaya boleh kenal pasti suspek terbabit kejadian itu dalam masa terdekat.
"Dua lagi kejadian samun kedai emas sebelum ini di Kajang dan Klang Selatan itu juga adalah dari kumpulan yang berbeza," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kajang (IPD) di sini pada Rabu.
Terdahulu berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kajang baharu antara Senior Komisioner Mohd Zaid Hassan dengan Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof.
Pada 17 Jun lalu, media melaporkan polis memburu empat lelaki bertopeng dan bersenjata dipercayai merompak sebuah kedai emas dalam sebuah pusat beli belah.
Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, empat suspek dilihat memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng dan bersarung tangan gelap.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Muhamad Nasir Drahman dilaporkan berkata, mereka kemudian masuk ke premis terbabit, memecahkan cermin kaca simpanan emas menggunakan tukul besi dan mengambil emas itu.
Menurutnya, semasa kejadian, suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan satu laras senapang ke dalam premis berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!