[VIDEO] Peniaga kuih tradisional lok lik raih jualan RM800 sehari

Iklan

MARANG - [DIKEMAS KINI] Seorang pengusaha kuih tradisional Terengganu di Dataran Batu Putih dekat sini mampu meraih hasil jualan RM800 sehari selepas permintaan terhadap kuih tersebut meningkat sejak tular di media sosial.

Pengusaha kuih lok lik, Suri Abdul Ghani, 54, berkata, setakat ini dia menghasilkan 800 biji kuih setiap hari selepas ia dikongsikan oleh menantunya, Nur Nadirah Syuhadah Rahmat, 26 menerusi platform media sosial pada tahun lalu.

Suri menunjukkan kaedah penyediaan adunan kuih lok lik ketika ditemui pemberita di Dataran Batu Putih, Marang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak tiga kawah bahan adunan kuih lok lik disediakan bagi menghasilkan 160 bungkus kuih lok lik yang setiap satunya mengandungi lima biji kuih dijual pada harga RM5 sebungkus.

"Kita bersyukur sebab ramai yang datang ke sini untuk cari kuih ini. Ada yang datang dari jauh seperti Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Perak semata-mata untuk dapatkan lok lik," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi pemprosesan kuih lok lik di sini, baru-baru ini.

Iklan
Suri (kanan) dan Nur Damia Arisya menyiapkan kuih tradisional lok lik.

Suri memberitahu, resipi makanan tradisional yang menggunakan bahan asas nisan kerek atau gula melaka itu diwarisi daripada keluarganya.

"Kaedah pembuatan kuih ini saya belajar daripada orang tua saya sendiri. Ketika itu saya mula buat secara kecil-kecilan untuk dijual di pasar.

Iklan
Nur Damia Arisya Mohd Roslan memanfaatkan waktu cuti sekolah bagi membantu keluarganya menyediakan kuih lok lik untuk dijual kepada pelanggan.

"Sekarang ini selain dijual di Dataran Batu Putih, kita jadi pembekal kuih lok lik. Permintaan kuih ini begitu tinggi sehinggakan apabila kehabisan stok kuih, pelanggan sanggup beratur untuk menunggu adunan baharu siap dimasak. Kalau satu jam baru boleh siap masak, satu jam lah mereka akan tunggu," ujarnya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, kuih lok lik dihasilkan daripada beras pulut yang digoreng tanpa minyak bersama sedikit garam, gula melaka, kelapa muda yang telah diparut dan sedikit air sebelum dimasak selama satu jam sehingga teksturnya menjadi pekat.

Antara pelanggan yang ingin mendapatkan pelbagai jenis kuih tradisional Terengganu.

Katanya, bahan-bahan tersebut akan disatukan dalam mesin pemprosesan sebelum dibentuk bulat dan disalut dengan lebihan beras pulut yang telah digoreng.

"Keistimewaan kuih ini ialah ia agak sukar untuk diperoleh di tempat lain dan rasanya agak unik kerana menggunakan beras goreng dan kelapa muda yang membangkitkan aroma menyelerakan bagi penggemar kuih ini.

"Kalau orang luar Terengganu seperti dari Melaka dan Johor gelar kuih ini wajik sirat, orang Kelantan pula panggil kuih tepung gomok. Walaupun agak berbeza, rasanya lebih kurang sama,"katanya.

Selain menghasilkan kuih lok lik, Suri turut menjual nisan nyor (kelapa), kerak telur, sagong, dodol daun palas dan air tuak atau air nira kelapa.

"Kami menghasilkan produk makanan tradisional menggunakan kelapa antaranya nisan nyor atau dipanggil nisan pulut, kerak telur, dodol, colek nisan, lok lik, nisan kerek atau lebih dikenali sebagai gula melaka, gula-gula nisan (coklat nisan) kopi nisan asli dan air nira,"ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!