KALANGAN negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Malaysia, Indonesia dan Turkiye semakin ketara sebagai peneraju penerbit hutang pasaran sedang pesat membangun (EM), kata Fitch Ratings.
Agensi penarafan kredit itu berkata, dalam tempoh lima bulan pertama 2024, kelompok negara-negara berkenaan telah menyumbang sebanyak 51 peratus daripada semua hutang dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan oleh EM (tidak termasuk China).
Iklan
Iklan
"Kami menjangkakan pertumbuhan ini akan berterusan pada 2024-2025, didorong oleh inisiatif-inisiatif kerajaan dalam membangunkan pasaran modal hutang (DCM), mempelbagaikan sumber pembiayaan, membiayai defisit fiskal, projek kerajaan serta hutang yang matang.
"Sukuk yag turut berperanan sebagai mekanisme pembiayaan dan dasar utama, pula menyumbang sebanyak 12.4 peratus daripada semua hutang dalam dolar di EM yang diterbitkan setakat ini pada 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di Malaysia, sukuk merupakan majoriti terbitan DCM domestik pada tahap 60 peratus berbanding masing-masing 56 peratus di Arab Saudi dan 55.3 peratus di Indonesia selain kekal penting di negara lain.
Fitch juga menyifatkan Belanjawan 2024 Malaysia yang menjadi belanjawan ‘pengembangan’ kecil, akan terus memacu pertumbuhan DCM dengan beberapa inisiatif pembangunan dirancang di bawah kerangka Ekonomi Madani. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!