Bekas calon Bebas Sikamat, isteri dituduh kemuka penyataan palsu

Iklan
Mohammed Hafiz (kiri) dan Hazlin Suraya ketika hadir ke mahkamah.

SEREMBAN - Bekas calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Negeri ke-15 tahun lalu dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas pertuduhan mengemukakan penyataan palsu dalam borang Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Tertuduh, Mohammed Hafiz Baharudin, 48 yang juga dikenali sebagai Tok Merah dan isterinya, Hazlin Suraya Halim, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama sebagai pengarah sebuah syarikat telah melakukan pemalsuan kepada enam borang JPPH dengan memalsukan penyataan palsu pada borang tersebut dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Kesalahan itu dilakukan antara 17 September 2019 hingga 3 Julai 2020 di JPPH, Seremban.

Iklan

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM10,000 setiap seorang.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan mereka memaklumkan sebagai pengarah syarikat, mereka tiada niat untuk menipu.

Sehubungan itu, mereka merayu jumlah jaminan dikurangkan serta memberikan tempoh dua bulan untuk melantik peguam.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Seremban pada Sabtu pertama setiap bulan.

Mereka turut dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan sebutan semula kes 24 Julai ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!