ISTANBUL - Seorang pendakwa raya di Turki menggesa hukuman 18 tahun penjara dikenakan ke atas seorang penghantar makanan atas kesalahan meludah piza sebelum menyerahkannya kepada pelanggan, lapor media tempatan semalam.
Perbuatan jijik itu berlaku pada 2017 di pusat bandar Eskisehir dan ia dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di blok pangsapuri pelanggan terbabit.
Rakaman video itu jelas menunjukkan penghantar makanan terbabit, Burak S meludah ke atas piza dan merakam perbuatannya menggunakan telefon bimbit.
Motif sebenar kejadian tidak diketahui.
Lapor agensi berita DHA, defendan telah pun didenda 600 Euro (RM2,700) kerana membahayakan kesihatan pelanggan.
Namun, pihak pendakwa raya mahu hukuman penjara dalam tempoh yang panjang dikenakan ke atas lelaki tersebut kerana meracun dan mencemarkan produk makanan.
Kes itu terbongkar selepas pemilik bangunan yang melihat insiden berkenaan di CCTV sebelum bertindak memaklumkan perkara tersebut kepada pelanggan terbabit.
Pendedahan itu menyebabkan pelanggan berkenaan membuat aduan sekali gus mencetuskan siasatan jenayah. - AFP