RINGGIT dijangka lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku akhir 2024, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Beliau berkata, ini memandangkan prestasi ringgit di landasan tepat dalam mencapai prestasi itu berbanding beberapa bulan lepas dengan mengambil kira prestasi ekonomi serta pelaburan yang diraih negara.
Pada Februari lepas, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyasarkan nilai ringgit diniagakan pada paras RM4.50 berbanding dolar AS pada akhir tahun ini, didorong oleh kedudukan ekonomi negara yang positif.
Hui Ying berkata, ringgit juga merupakan satu-satunya mata wang serantau yang mengukuh sebanyak 1.4 peratus berbanding dolar AS sejak 26 Februari 2024.
"Sebaliknya, mata wang serantau menyaksikan (prestasi) seperti rupee India yang menguncup -0.8 peratus, dolar Singapura (-0.8 peratus), renminbi China (-0.9 peratus) dan baht Thailand (-1.8 peratus).
"Selain itu, dolar Taiwan pula menguncup -2.4 peratus, won Korea Selatan (-3.9 peratus), peso Filipina (-4.9 peratus), rupiah Indonesia (-5.1 peratus) dan yen Jepun (-5.3 peratus),” katanya ketika menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai prestasi ringgit berbanding dolar AS, di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Menjelaskan selanjutnya, Hui Ying berkata, pergerakan ringgit turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor global dan domestik yang merangkumi harga komoditi, sentimen pasaran kewangan dan unjuran pertumbuhan ekonomi.
"Malaysia terus merekodkan kejayaan dalam menarik pelaburan asing dengan pelaburan diluluskan melonjak pada suku pertama 2024. Ini menunjukkan pelabur semakin yakin terhadap perkembangan ekonomi negara dan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga menjangkakan aliran masuk dana dan pelaburan asing yang berterusan dan seterusnya menyokong pengukuhan nilai ringgit. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!