Pelajar pengsan berhampiran sekolah bukan dipukul - Polis

Iklan
Kasim

KOTA KINABALU - Pelajar Tingkatan Tiga yang ditemui terbaring dan pengsan berhampiran sebuah sekolah di Tebobon, di sini bukan dipukul atau terlibat dalam pergaduhan seperti yang didakwa di media sosial pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya ada menerima laporan polis daripada guru yang menyatakan video yang tular mengenai pelajar itu adalah tidak benar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi Rabu di mana seorang guru di sekolah berkenaan dimaklumkan oleh orang awam berkenaan seorang pelajar terbaring di tepi jalan berdekatan sekolah tersebut.

"Setelah pemeriksaan dibuat oleh guru berkenaan tiada kecederaan yang dialami oleh pelajar tersebut.

Iklan

"Pihak kita kemudian telah menerima laporan daripada guru tersebut yang menyatakan video tular pelajar itu telah dipukul atau terlibat pergaduhan adalah tidak benar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Susulan daripada laporan itu, Kasim meminta orang ramai tidak memuat naik sebarang rakaman video atau kenyataan di media sosial yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sebelum mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa.

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!