MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyerbu premis makanan di Medan Selera Jalan Tun Ali, Kampung Morten, di sini yang didakwa mengenakan caj tambahan sebanyak satu peratus bagi penggunaan Kod Respons Pantas (QR).
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, serbuan kira-kira jam 10.40 pagi itu berdasarkan aduan yang diterima daripada pengguna yang mendakwa premis menjual menu sarapan pagi mengenakan caj tambahan sebanyak 10 sen bagi makanan dan minuman berharga RM3.70.
Menurutnya, pelanggan itu terpaksa membayar sejumlah RM3.80 setelah membuat bayaran menggunakan kaedah tersebut dan kerana itu KPDN telah membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Tambah beliau, peniaga itu memberikan alasan caj tambahan tersebut dikenakan kerana terpaksa menanggung caj perkhidmatan oleh pihak perbankan, namun siasatan mendapati ia tidak berlaku.
"Ini merupakan satu kesalahan dan kertas siasatan sedang dibuat sebelum tindakan selanjutnya malah kita mendapati tiada notis pemakluman awal.
"Perkara ini dikesan sejak awal tahun ini sekali gus menunjukkan bahawa kenaikan harga itu bukan disebabkan isu kenaikan harga diesel," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita susulan aduan itu di Kampung Morten di sini pada Rabu.
Tambahnya, peniaga tersebut turut dikenakan kompaun RM200 kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Kata beliau, ini juga merupakan kesalahan pertama yang dikesan berlaku di negeri ini dan menegaskan kenaikan sebegini tidak boleh dijadikan alasan susulan pelaksanaan subsidi bersasar sejak awal bulan ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!