KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu bertanggungjawab dan tidak lepas tangan berkenaan pampasan rendah diterima baki 100 penduduk Kampung Sungai Baru di sini yang membantah pengambilan tanah tersebut.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, kesilapan adalah disebabkan kerajaan sendiri yang menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 serta penilaian rendah diletakkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH).
Menurutnya, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian dengan tidak berselindung di sebalik tatacara dan peruntukan undang-undang.
"Saya letakkan kesalahan kepada kerajaan yang isu penilaian ini tidak ditangani dengan cara Kerajaan Madani. Jika nampak tidak adil, kerajaan kena ambil tindakan dan perbetulkan.
"Kerajaan lakukan kesilapan dengan memindahkan penduduk kemudian menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang tidak memberikan keputusan yang betul," katanya pada sidang akhbar di Kampung Sungai Baru di sini pada Rabu.
Lebih malang katanya, tidak ada perbincangan dengan penduduk dan pemilik yang tidak setuju sebaliknya terus menggunakan akta tersebut dan merampas tanah penduduk.
Katanya, kerajaan perlu menyelesaikan tuntutan pampasan baki penduduk yang membantah membabitkan 72 pemilik rumah flat, 37 rumah teres serta 32 pemilik yang tidak menerima warta.
Ujarnya, isu penilaian semula pampasan berkenaan telah dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun beliau memaklumkan telah dinasihatkan peguam-peguamnya untuk tidak membuat rundingan semula.
"PM beritahu jika rundingan semula dibuat dengan kumpulan penduduk yang tidak bersetuju maka perbincangan juga perlu dilibatkan dengan kesemua penduduk.
"Saya nak beritahu, nasihat diberikan oleh peguam Anwar adalah tidak betul. Ini kerana tawaran pemaju kepada yang bersetuju nilainya adalah diantara RM1, 500 hingga RM1, 800 kaki persegi selain pampasan berbentuk hartanah sekitar RM1. 02 juta sedangkan baki yang tidak bersetuju hanya menerima RM450 bagi satu kaki persegi.
"Ini bermakna kalau kadar pampasan dinaikkan maka tiada keperluan penduduk yang bersetuju dilibatkan dengan rundingan semula itu kerana mereka telah mendapat kadar yang tinggi," katanya.
Katanya, penduduk memohon diberikan pampasan munasabah sekurang-kurangnya 60 peratus daripada kadar bayaran diterima penduduk awal yang menyokong projek tersebut.
Ujarnya, beliau akan memohon sekali lagi kepada Anwar untuk campur tangan berkenaan penilaian semula penduduk terjejas dan mencari penyelesaian lebih adil.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!