Gerakan boikot kurang beri kesan langsung kepada ekonomi negara

Iklan
Rafizi

SHAH ALAM - Gerakan memboikot perniagaan syarikat yang didakwa ada kaitan dengan Israel oleh sebahagian rakyat Malaysia sebenarnya kurang memberi kesan kepada ekonomi negara secara langsung.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia berikutan sumbangan subsektor makanan dan minuman kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah kecil iaitu 2.3 peratus pada 2023 serta 2.4 peratus sepanjang suku pertama 2024.

Iklan
Iklan

"Meskipun gerakan pemboikotan masih berterusan, Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan iaitu sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024 yang disokong aktiviti domestik berdaya tahan.

"Momentum yang baik ini menunjukkan ekonomi negara tidak terjejas oleh pemboikotan. Keadaan ini disumbang oleh kecenderungan pengguna beralih kepada produk perniagaan berjenama tempatan dan seterusnya meningkatkan aktiviti ekonomi domestik," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau menjawab kepada soalan R Yuneswaran (PH-Segambut) yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan jumlah kerugian dan kesan dihadapi ekonomi negara atas sebab gerakan boikot dari Januari 2024 hingga 31 Mei 2024 serta apakah langkah yang telah diambil kementerian untuk membaik pulih kesan dialami ekonomi negara.

Tambah Rafizi, bagaimanapun terdapat sedikit peningkatan dalam jumlah pekerja yang kehilangan pekerjaan berdasarkan Laporan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Iklan

Ujarnya, dalam tempoh Januari hingga Mei 2024 seramai 22,315 individu kehilangan pekerjaan, berbanding 18,026 untuk tempoh yang sama pada 2023 iaitu meningkat sebanyak 23.8 peratus.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 1,091 atau 4.9 peratus adalah pekerja sektor penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan. 583 atau 50.7 peratus kehilangan kerja dilaporkan berpunca daripada penutupan dan pengecilan saiz perniagaan.

"Bagaimanapun, data kehilangan pekerjaan ini adalah secara umum dan tidak menjurus kepada sektor makanan dan minuman (F&B) sahaja," katanya.

Tambah Rafizi, kerajaan akan terus berusaha memastikan ekonomi negara terus berkembang dan tidak terkesan dengan gerakan pemboikotan.

Menurutnya, reformasi struktur ekonomi yang sedang dilaksanakan dijangka menyokong sasaran pertumbuhannya bagi mempercepatkan peralihan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Pada masa sama, syarikat tempatan wajar mengambil peluang dan lebih kreatif serta inovatif dalam menawarkan produk tempatan yang berkualiti sekali gus memenuhi cita rasa rakyat tempatan.

"Tindakan ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi permintaan untuk produk buatan Malaysia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!