HARI INI timbul isu 'Excellence without a soul' seperti yang disebutkan oleh Harry Lewis.
Ini kerana terdapat program Anak Kurnia atau"Gifted Child” yang diperkenalkan dan diadaptasi secara bulat-bulat daripada program pelajar pintar berbakat acuan Barat serta hanya melihat anak kurnia dari aspek akal (mind) dan jasad sahaja tetapi mengabaikan elemen roh (soul), hati (qalb) dan emosi (nafs).
Di dunia ini, ada yang dikatakan golongan manusia yang gifted (kurnia). Merujuk kepada Prof Francoy Gagne di Universite du Quebec a Montreal, Canada, giftedness merujuk kepada seseorang yang berbakat yang berjaya menempa kecemerlangan dalam domain-domain bakatnya pada peringkat-peringkat tertentu.
Justeru, sebenarnya semua manusia mempunyai peranan dengan kurniaan potensi yang berbeza untuk menjadi khalifah ALLAH di dunia yang menghayati konsep aqidah (sistem kepercayaan), syariah (sistem peraturan), adab (perlakuan yang betul dengan penuh hikmah) dan akhlak (nilai keinsanan terpuji).
Konsep kurnia dari pandangan Barat dan Islam Secara kasar, konsep kurnia sedia ada sekarang terbina dari kemuncak pencapaian pengetahuan falsafah Barat berkiblatkan perkaedahan sains Barat.
Konsep yang diperkenalkan oleh sarjana Barat sejak abad ke-19, menekankan aspek kecerdasan intelek (IQ) atau ujian ‘darjah rasional’ sebagai kayu ukur untuk menentukan keupayaan intelek manusia.
Konsep anak kurnia dari perspektif Barat tidak sama dengan konsep anak kurnia dari perspektif Islam kerana ia mengabaikan konsep tauhid atau ketuhanan dalam Islam.
Ini kerana sarjana Barat lebih cenderung membincangkan pembangunan anak kurnia hanya secara zahir sahaja.
Oleh itu anak kurnia dalam teori Barat mengganggap mereka hanya sebagai manusia fizikal atau pseudomanusia iaitu manusia yang tidak cukup satu manusia.
Tidak dinafikan walaupun ada sarjana Barat turut menekankan soal kecerdasan spiritual (spiritual quotient), namun pentakrifan spiritual tersebut amat berbeza dengan konsep ‘rohani’ dalam Islam yang bersandarkan kepada hujah-hujah Al-Quran dan hadis.
Secara lebih bersepadu, Islam menitikberatkan konsep tauhid yakni rasa diri bertuhan dalam setiap sudut kehidupan.
Ini kerana fitrah anak kurnia yang tinggi tahap kecerdasan tauhidnya begitu teruja untuk membawa dirinya ke syurga namun pada masa yang sama amat berhati-hati dalam amalannya agar tidak terjerumus ke neraka.
Anak kurnia dalam konteks Islam mempunyai hubungan dengan ALLAH (hablumminallah), status anak kurnia sebagai khalifah ALLAH ini menjadikan mereka sebagai pelaku yang berbeza dengan teori atau konsep Barat.
Pendidikan anak kurnia mengikut acuan Islam
Menurut pandangan Prof Emeritus Dr Mohammad Syukri Salleh, faktor-faktor keturunan, doa ibu bapa dan rahmat ALLAH itu sendiri telah menentukan kepada siapa yang DIA hendak kurniakan keistimewaan kurnia ini.
Bagi Prof Emeritus Dato Dr Yusof Othman pula, suasana latar belakang keluarga, suasana persekitaran, masyarakat dan budaya juga turut mempengaruhi seseorang itu menjadi seorang insan yang berpotensi menjadi anak kurnia.
Bagaimanapun, beliau berpendapat di sekolah anak yang berpotensi tetap memerlukan bimbingan guru.
Tokoh-tokoh kurnia Muslim
Mengimbau sejarah Islam silam, tokoh-tokoh Islam mempunyai pelbagai kebolehan dan kelebihan luar biasa sehingga digelar sebagai polymath (mahir dan arif dalam pelbagai bidang ilmu) dan sehingga hari ini pemikiran mereka masih dirujuk.
Tokoh-tokoh ilmuan terkemuka seperti Jabir bin Hayyan (pengasas ilmu kimia); Al-Khuwarizmi (bidang algebra dan algortime); Al-Farabi (pengasas bidang bunyi yang mengagaskan muzik) Ibnu Haitam (pengasas optik moden); Al-Biruni (pengasas astronomi); Ibnu Sina (pengasas ilmu perubatan); Al-Ghazali; Ibnu Khaldun (pengasas sejarah dan pembangunan peradaban) serta ramai lagi.
Ketika dunia Islam begitu gilang-gemilang dengan perkembangan ilmu-ilmu, orang Barat pada ketika itu masih hidup dalam keadaan gelap gelita dan percaya kepada cerita kurafat dah tahyul.
Sejarah membuktikan Barat sendiri gagal melahirkan tokoh-tokoh polymath kerana peradaban Barat yang mengamalkan konsep sekularisme.
Rumusannya, umat Islam perlu kembali mengusai dunia dengan melahirkan ramai anak-anak kurnia yang benar-benar berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Justeru, berdasarkan ulasan di atas jelaslah satu program anak kurnia berteraskan Islam perlu dibangunkan oleh pihak bertanggungjawab bagi melahirkan anak kurnia mengikut acuan Islam.
*DR ROSSIDI USOP merupakan Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia