SUNGAI BAKAP - Jentera Parti Amanah Negara (Amanah) memberi tumpuan berkempen di kawasan Sungai Duri untuk meraih sokongan pengundi untuk calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain merayu undi dari rumah ke rumah, jentera Amanah juga giat menjalankan kempen serta ceramah kelompok dan aktiviti bersama masyarakat.
Menurutnya, tumpuan diberikan di Sungai Duri kerana ia arahan parti berikutan kawasan itu mempunyai ramai pengundi Melayu.
"Setakat ini saya tidak boleh meramalkan lagi (kemenangan) kerana ini baru hari ketiga, namun kita melihat respon yang baik dan sokongan orang ramai kepada calon PH," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jom Masak Sihat Citarasa Peladang, di Tasek Cempedak, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohamad berharap orang ramai bukan sahaja memilih calon yang tepat malah keluar beramai-ramai bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada 6 Julai nanti.
"Kita berharap peratusan keluar mengundi pada PRK Sungai Bakap kali ini tinggi,"tambahnya lagi.
Dalam pertandingan dua penjuru PRK DUN Sungai Bakap, Joohari bakal berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail yang merupakan bekas Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff (Pas) pada 24 Mei lalu.
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.