Meriahkan kemuncak NTW 2024 pada 29 dan 30 Jun ini!

Iklan
SHAH ALAM - Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 akan melabuhkan tirainya dengan sambutan kemuncak yang akan diadakan Stadium Bukit Jalil pada 29 dan 30 Jun 2024.

Dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambutan kemuncak NTW 2024 dijangka menarik lebih 20,000 penyertaan rakyat Malaysia menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan sekali gus meningkatkan kemahiran dan pembangunan diri, selari dengan keperluan guna tenaga negara.

NTW 2024, inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) itu telah bermula dari 24 Jun lalu, menawarkan lebih 60,000 kursus latihan percuma dengan sasaran 200,000 penyertaan dari seluruh negara.

Selain kursus latihan, HRD Corp bersama rakan kolaborasi yang terdiri darpada agensi kerajaan dan swasta turut mengadakan lebih 700 aktiviti pembelajaran di seluruh negara.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood berkata, NTW 2024 dianjurkan bertujuan untuk mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya bagi rakyat Malaysia.

Katanya, pelaksanaan NTW 2024 melibatkan lima teras utama iaitu Kemahiran Hidup, Kemahiran Masa Depan, Kreativiti dan Inovasi, Kemahiran Kewangan dan Pembangunan Mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tingkat potensi minda, fizikal

Sambutan kemuncak NTW turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang dua hari yang pastinya menarik minat serta inovasi dan kreativiti para peserta antaranya Pancasains dari Petrosains, EV Experience oleh Proton, klinik sukan, pertandingan LEGO, pameran buku dari Bookxcess dan karnival kerjaya MYFUTUREJOBS, dan banyak lagi.

Malah, sambutan kemuncak NTW turut memberi peluang kepada para peserta meningkatkan kecerdasan minda dan fizikal menerusi larian pembelajaran Learn-a-Thon yang dijangka disertai lebih 4,000 rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

Larian unik ini menampilkan pit stop yang menawarkan pelbagai maklumat kepada peserta sambil melakukan larian.

Pada masa sama, sambutan kemuncak selama dua hari NTW 2024 turut diadakan 60 kelas latihan untuk hampir 2,000 peserta.

Kongsi pengalaman bersama pakar dan selebriti

Pada masa sama, para peserta yang hadir pada sambutan kemuncak NTW 2024 jangan lepaskan peluang mendapatkan pengetahuan dan kemahiran baharu menerusi perkongsian bersama pakar pembangunan latihan dan selebriti antaranya Dr Malar yang membicarakan tajuk ‘Cara terbaik mengimbangi kehidupan dan pekerjaan’, Aunty HR @ Professional Bimbo (Perkongsian tentang cuti dan hak pekerja) dan Dr Onn Akbar yang mengupas tajuk ‘Cara-cara menjaga kesihatan dengan baik’.

Selain itu, Fizo Omar turut berkongsi pengalaman dalam bidang keusahawanan selain mendengar Dr Soo Wincci menceritakan pengalaman kariernya daripada ratu cantik kepada seorang profesor cemerlang dalam bidang akademik.

Malah, selebriti media sosial, Faiz Dickie turut berkongsi rahsia bagaimana untuk menjadi pembuat kandungan media sosial yang sebenar.

Pendaftaran penyertaan

Semua sesi adalah percuma dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan sambutan kemuncak NTW 2024 akan diadakan di Parkir B, Stadium Bukit Jalil, bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.

Untuk menyertai kelas latihan, rakyat Malaysia yang berminat boleh melayari www.nationaltrainingweek.gov.my untuk mendaftar.

Jumpa di sana!