JASIN - Seorang pemandu lori yang membawa muatan barangan sejuk beku maut dalam nahas membabitkan tiga lori di kilometer 186.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini pada Rabu.
Dalam kejadian lebih kurang jam 11.40 pagi, mangsa, Mohd Azmizan Stapa, 39, yang memandu lori jenis Isuzu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Batu Pahat menghala ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 43 tahun bersama dua penumpang masing-masing berusia 32 dan 35 tahun dari Muar ke Tanjung Malim, Perak telah memperlahankan kenderaan disebabkan terdapat kerja-kerja penyelenggaraan jalan di hadapan.
Katanya, pada masa yang sama, lori dipandu mangsa yang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian belakang lori jenis Nissan UD.
"Akibat kemalangan itu, lori Nissan UD itu kemudian telah melanggar bahagian belakang sebuah lagi lori jenis Hino yang dipandu lelaki berusia 36 tahun.
"Mangsa mengalami kecederaan tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala pemandu serta kelindan dua buah lori yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Tambahnya, siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan dan melanggar kenderaan lain.
"Bagaimanapun siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!