Ragut wanita tepi lebuh raya, dua ditahan dalam tempoh 24 jam

Iklan
Tangkap layar rakaman video dashcam berdurasi 42 saat di laman sosial Facebook.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tidak sampai 24 jam selepas bertindak meragut wanita yang mengalami kerosakan kereta, dua lelaki berjaya diberkas di sekitar Klang, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian ragut itu berlaku jam 7 pagi pada Selasa, di tepi lebuh raya sebelum mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 58 tahun berhenti di tepi jalan kerana kereta yang dinaiki mengalami kerosakan.

"Kedua-dua suspek pada mulanya berhenti bersebelahan kereta mangsa dan berpura-pura bertanyakan sesuatu dan menawarkan diri untuk membantu, sebelum seorang daripadanya bertindak mengambil dompet berada dalam beg silang yang dipegang oleh mangsa.

Iklan

"Wanita itu kemudian bertindak menangkap tangan pembonceng motosikal tersebut, namun tindakannya itu menyebabkan dia terseret di atas jalan raya hingga cedera manakala suspek terus melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala dan kaki kiri, selain kehilangan dokumen pengenalan diri, kad bank dan wang tunai sebanyak RM500.

Iklan

Terdahulu kata beliau, tular rakaman video dashcam berdurasi 42 saat di laman sosial Facebook yang memaparkan kejadian seorang wanita diragut hingga diseret oleh dua suspek lelaki menaiki sebuah motosikal di tepi jalan susur keluar ke arah Kota Kemuning, di sini.

Bagaimanapun menurutnya, kejadian yang berlaku itu berjaya dirakam menggunakan dashcam daripada sebuah kereta seorang pengguna jalan raya yang secara kebetulan melalui jalan tersebut.

Jelas beliau, bertindak atas maklumat, tangkapan dibuat ke atas dua suspek tersebut antara jam 1.30 hingga 3 pagi pada Rabu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Mohd Iqbal berkata, tangkapan di sekitar Klang itu membolehkan pihak polis merampas barangan kes termasuk motosikal yang digunakan semasa kejadian bersama kad bank serta lesen memandu kepunyaan mangsa.

"Tangkapan ke atas suspek berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pencuci kereta mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Sementara seorang lagi suspek berusia 32 tahun bekerja sebagai pembantu kedai makan juga mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah," katanya.

Selain itu katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Rabu hingga 2 Julai in dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Zulkifli Mohamad di talian 01116958529," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!