PRK Sungai Bakap: 'Isu subsidi, BlackRock pasti dimanipulasi dalam kempen'

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Isu penyasaran subsidi diesel dan pemilikan saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada syarikat pro-Israel, BlackRock pasti akan dimanipulasi oleh pembangkang menjelang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rakyat bagaimanapun akan melihat kepada pencapaian dan kredibiliti calon dalam membantu masyarakat komuniti di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Mana-mana pilihan raya sekalipun akan ada isu-isu sekitar ini tetapi akhirnya kita melihat secara besar dan holistik.

"Kita fahamkan masyarakat bahawa isu akan datang dan pergi, tetapi siapakah yang akan boleh kekal membantu rakyat untuk mereka terus hidup dalam kawasan mereka untuk satu penggal nanti kerana tukang-tukang kempen yang bersemangat memainkan sentimen ini, datang waktu pilihan raya sahaja.

Iklan

"Selepas ini mereka akan kembali. Tetapi kalau wakil rakyat yang dipilih itu adalah wakil rakyat yang tidak membawa aspirasi kerajaan, apa yang dia boleh buat untuk membantu rakyat?,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Dalam pertandingan dua penjuru PRK DUN Sungai Bakap, calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin bakal berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail yang merupakan bekas Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap.

Iklan

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff (Pas) pada 24 Mei lalu.

Mengulas mengenai kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan terutamanya janji PH sebelum memegang pentadbiran, ujar Asyraf Wajdi, itu realiti dilalui oleh mana-mana pimpinan politik yang menjadi kerajaan.

"Sebab itu dahulu kita Barisan Nasional (BN) digasak apabila memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan penyasaran subsidi.

"Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Tun Dr Mahathir Mohamad, waktu mereka jadi kerajaan pun akhirnya mereka memahami realitinya mereka tidak boleh bergantung negara ini kepada subsidi dan ini diperakui oleh pembangkang sendiri.

"Hari ini keberanian politik lah, demi menyelamatkan negara, kita harus buat keputusan yang betul tetapi akhirnya bagaimana kita hendak memastikan kebajikan rakyat yang terkesan dengan dengan apa juga perubahan dasar ini yang perlu diambil kira,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!