Langkawi terbuka kepada pelancong seluruh dunia - Sanusi

Iklan
Sanusi (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan dan sumbangan kepada anak Kedah yang cemerlang dalam akademik di Wisma Darul Aman pada Rabu.

ALOR SETAR - Kedah tidak berhasrat untuk mempromosikan pulau Langkawi sebagai pulau pelancongan untuk komuniti Muslim sahaja, sebaliknya meneruskan pendekatan sedia ada, iaitu terbuka kepada pelancong seluruh dunia.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Langkawi tidak memerlukan pendekatan seumpama itu kerana ia telah dikenali sebagai antara sepuluh pulau terbaik di dunia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan berkenaan tidak pernah dibincangkan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

"Langkawi itu wilayah Kedah, pulau itu Kedah punya, kita namakan Langkawi Permata Kedah. Ikut suka Kedah nak buat pulau apa, kita tak pernah kata nak jadikan sebagai pulau pelancongan Islam. Sesiapa nak mai (datang) pun boleh,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sanjungan Ilmu Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pada Rabu.

Iklan

Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan yang bercadang menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim pada sidang Dewan Rakyat, Isnin lepas.

Menurutnya, langkah berkenaan wajar diambil ekoran persaingan destinasi pelancongan terutama pulau dari negara jiran, selain mahu mempromosikan Langkawi sebagai pulau destinasi Muslim ke arah kekeluargaan, keredaan dan kerohanian.

Iklan

Sanusi tegaskan, isu Langkawi sebagai destinasi pelancongan Muslim wajar dihentikan kerana Langkawi merupakan pintu masuk ke Kedah, malah menjadi akses pintu masuk negara.

Menurutnya lagi, kemasukan pelancong ke Langkawi membawa pulangan besar sehingga berbilion ringgit dalam sektor pelancongan negara.

"Jadi kena jagalah prestij itu. Jangan hadkan kepada orang Islam sahaja. Kita terbuka terima pelancong dari mana pun,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, dakwaan Langkawi dipenuhi sampah-sarap juga tidak benar dan ia kemungkinan hanya berlaku di beberapa lokasi seperti penempatan Bukit Malut.

"Di Bukit Malut, isunya bukan sampah tetapi rumah dibina hingga ke atas laut jadi sampah dilepas ke dalam laut. Mereka bina rumah sampai ke laut, bila rumah dalam laut, mana ada longkang atau tong sampah.

"Saya percaya isu itu akan selesai selepas penempatan semula penduduk di kawasan berkenaan. Kadang ada sampah yang dibawa arus laut ke pulau Langkawi,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penempatan semula Bukit Malut menunjukkan perkembangan yang positif setakat ini dan berharap dapat disegerakan berikutan sudah lama berlarutan.

"Kita sudah bincang dengan MKN (Majlis Keselamatan Negara) buat penempatan. Kita harap cepat untuk ambil alih tanah LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) supaya dapat bina rumah lebih teratur dan sah untuk mereka,” katanya.

Sanusi berkata, kebersihan kawasan Bukit Malut akan dapat diatasi selepas penempatan semula dilakukan sekaligus menepis dakwaan pulau lagenda dikotori sampah-sarap.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!