KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang meneliti akta tertentu bagi mempertimbangkan hukuman lebih berat untuk kesalahan berkaitan kegiatan mencuri kabel komunikasi sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ketika ini proses dapatan, maklum balas dan beberapa perkara dalam bidang kuasa atau di bawah Kanun Keseksaan sedang diambil kira sebelum ia dikuatkuasakan.
"Pada masa sama pengalaman di negeri-negeri tentang kecurian kabel atau vandalisme ini akan kita selaraskan respons supaya satu penyelesaian menyeluruh dapat kita usahakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir menonton persembahan Teater Perdana Haji Murat yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini malam ini.
Fahmi ditanya mengenai perkembangan proses untuk menguatkuasakan hukuman itu yang dilapor akan dicadangkan dalam pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedang diperincikan oleh Jabatan Peguam Negara.
Ditanya mengenai tempoh pelaksanaannya, Fahmi berkata, beliau berharap beberapa perkara dapat diluluskan di peringkat jemaah menteri untuk dibawa ke sidang Parlimen yang sedang berlangsung.
"Harapan saya bagi sesetengah perkara sekiranya diluluskan di peringkat jemaah menteri mungkin dalam sidang Parlimen ini tetapi jika tidak, dalam sidang yang akan datang," katanya.
Pada 17 Jun lepas, Fahmi dilaporkan berkata, kerajaan sedang menimbangkan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan berkaitan kegiatan mencuri kabel komunikasi untuk membendung aktiviti itu yang semakin berleluasa ketika ini.
Dalam pada itu, Fahmi menyarankan anak muda untuk hadir menonton pementasan teater Haji Murat dan menanam minat berkarya dalam bidang sastera serta teater.
"Saya sangat gembira dapat menyaksikan pementasan teater Haji Murat iaitu satu karya agung seorang sasterawan ulung Leo Tolstoy yang telah diterjemah dan diadaptasi untuk pementasan ini oleh Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan.
"Semestinya saya cukup menyokong bukan hanya kerana saranan Perdana Menteri tetapi pengalaman saya dalam bidang seni dan pementasan teater. Harapan saya, agar ramai anak muda bukan hanya datang menonton tetapi berminat untuk sama ada berkarya dalam bidang sastera mahupun teater nanti," katanya.
Pementasan teater itu berdasarkan dari novella penting dan karya terakhir sasterawan ulung Rusia Tolstoy. Karya berkenaan yang mengangkat tema jihad dan perjuangan bangsa ditulis berdasarkan kisah benar yang berlaku pada 1851, melibatkan pejuang Chechen bernama Haji Murat yang membentuk perikatan dengan Rusia yang pernah ditentangnya, kerana ingin membalas dendam.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!