Israel semakin hilang kawan

Iklan
Konflik Hamas-Israel yang memasuki bulan kesembilan seperti tidak berkesudahan apabila tentera rejim Zionis seperti ‘tidak puas’ membunuh penduduk Palestin di Gaza yang kini telah meragut 37,551 yang kebanyakan wanita dan kanak-kanak.

KONFLIK Hamas-Israel yang memasuki bulan kesembilan seperti tidak berkesudahan apabila tentera rejim Zionis seperti ‘tidak puas’ membunuh penduduk Palestin di Gaza yang kini telah meragut 37,551 yang kebanyakan wanita dan kanak-kanak.

Pencerobohan terbaharu Tentera Pertahanan Israel (IDF) di Rafah, pusat perlindungan terakhir yang menempatkan kira-kira 1.2 juta penduduk Palestin telah membuka mata negara-negara lain selama ini bahawa kekejaman rejim itu mesti dihentikan serta-merta.

Iklan
Iklan

Alasan rejim itu bahawa kumpulan Hamas masih berlindung di Rafah menyebabkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu seperti tidak teragak-agak menyerang bandar di selatan Gaza yang kini tidak ubah seperti padang jarak padang tekukur.

Malah, gesaan badan keselamatan dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan serangan membabi buta di Rafah tidak diendahkan dan mereka sanggup mengebom petugas keamanan yang memberi bantuan kemanusiaan di bandar itu.

Iklan

Selain itu, gencatan senjata diusahakan Qatar seperti tidak membawa makna apabila rejim Zionis sering berdolak-dalik dengan syarat diperkenalkan Hamas dengan sombong berkata pejuang Islam itu mesti dihapuskan sebelum mereka menghentikan serangan berterusan di Gaza.

Menyedari kekejaman dan kerosakan berleluasa dilakukan Israel, terdapat satu cara menghentikan konflik kejam ini adalah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka.

Iklan

Baru-baru ini, Norway, Sepanyol dan Ireland mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf Negara Palestin, melanggar kedudukan lama kuasa Barat bahawa negara Palestin hanya boleh wujud sebagai sebahagian daripada rundingan damai dengan Israel.

Sekian lama, Norway dan Sepanyol pernah melakar peranan bersejarah dalam membangunkan usaha damai Israel-Palestin pada 1991, apabila kedua-dua pihak duduk bersama buat kali pertama dalam persidangan damai Madrid yang membuka jalan kepada Perjanjian Oslo 1993.

Menurut Pihak Berkuasa Palestin, 142 daripada 193 negara anggota PBB telah mengiktiraf negara Palestin.

Mereka terdiri dari negara Asia Barat, Afrika namun bukan Amerika Syarikat (AS), Kanada dan kebanyakannya adalah Eropah barat, Australia, Jepun dan Korea Selatan.

Bagaimanapun, jumlah negara yang menyokong Palestin dijangka bertambah lagi selepas beberapa negara secara lantang menyuarakan pendirian mereka untuk menggesa Israel menghentikan serangan kejam Israel di Gaza.

April lalu, AS menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan PBB untuk menghalang usaha Palestin menjadi negara anggota penuh PBB.

Mengikut catatan sejarah, pada 15 November 1988, ketika penentangan pertama Palestin, pemimpin Yasser Arafat mengisytiharkan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Beliau membuat pengumuman itu di Algiers dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Palestin yang menerima pakai penyelesaian dua negara sebagai matlamat, dengan negara Israel dan Palestin yang merdeka wujud bersebelahan.

Beberapa minit kemudian, Algeria menjadi negara pertama yang mengiktiraf negara Palestin yang merdeka secara rasmi.

Beberapa minggu kemudian, berpuluh-puluh negara lain, termasuk sebahagian besar dunia termasuk negara Arab, India, Turkiye, sebahagian besar Afrika dan beberapa negara Eropah tengah dan timur telah mengikuti pengiktirafan berkenaan.

Gelombang pengiktirafan seterusnya datang pada akhir 2010 dan awal 2011 ketika krisis dalam proses damai Asia Barat. Sebilangan besar negara Amerika Selatan termasuk Argentina, Brazil dan Chile menjawab seruan Palestin untuk menyokong tuntutan kenegaraan mereka.

Ini adalah tindak balas kepada keputusan Israel untuk menamatkan larangan sementara ke atas bangunan penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki itu. Bak kata slogan ‘dari sungai ke laut, Palestin pasti merdeka’.

*Zulhilmi Hat ialah wartawan Meja Global Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!