Gubal segera akta dana politik, setuju atau tidak?

Iklan
Kuiz Pantau Dana Politik mendedahkan sebanyak 73.9 peratus responden bersetuju parti politik perlu lebih telus mengenai sumber dana. Gambar hiasan

DAPATAN kuiz Pantau Dana Politik mendedahkan sebanyak 73.9 peratus responden bersetuju parti politik perlu lebih telus mengenai sumber dana, sekali gus membuktikan sokongan awam yang kuat terhadap pendanaan politik.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Dr Tricia Yeoh berkata, hasil dapatan kuiz yang dibentangkan pada Disember 2013 itu merupakan salah satu usaha dalam mengukur pemahaman awam mengenai keperluan mendesak untuk menggubal akta pendanaan politik di negara ini.

Iklan
Iklan

Ujar Tricia, kuiz berkenaan turut mendapati sebanyak 63.7 peratus menyokong idea pembiayaan awam untuk parti politik manakala 55 peratus menyatakan sokongan untuk akta pendanaan politik.

Dapatan kuiz tersebut menunjukkan bahawa meskipun peratusan responden yang menyokong supaya pendanaan politik diwujudkan itu tinggi namun ada yang mempunyai pendapat berbeza.

Iklan

Masing-masing mempunyai hujah tersendiri berhubung isu berkenaan.

Sokong Bukti rakyat sokong ketelusan

Iklan

DAPATAN kuiz berhubung sokongan orang awam terhadap keperluan pelaksanaan akta pendanaan politik menarik dan bagus untuk rujukan.

Ia bermakna rakyat di negara ini menyokong agar ada elemen ketelusan yang lebih besar dalam pendanaan politik.

Selain itu, kita juga dapat melihat dapatan tersebut menunjukkan peningkatan dari segi kematangan dan kecelikan rakyat terhadap politik.

Kelebihan akta pendanaan politik ialah ketelusan sumber dana diperoleh manakala idea pembiayaan awam untuk parti politik adalah agar parti politik tidak bergantung kepada pihak swasta atau individu yang mungkin ada kepentingan peribadi.

Badlishah Sham

Seperti yang telah saya beritahu sebelum ini, akta pendanaan politik bukanlah bertujuan untuk menyekat parti politik ataupun ahli politik daripada mendapatkan derma mahupun dana untuk membiayai aktiviti politik mereka.

Sebaliknya, ia bertujuan untuk menuntut ketelusan dan rasa tanggungjawab terhadap wang atau dana yang diperoleh daripada pelbagai pihak.

Pada masa sama, kawalan perbelanjaan dana parti politik perlu menepati objektif supaya dana itu tidak digunakan untuk tujuan peribadi atau rasuah.

Memerangi gejala rasuah ini memerlukan pelbagai kaedah supaya dapat dapat ditangani dengan lebih holistik tetapi kita tidak boleh berhenti kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Harapan saya agar akta pendanaan politik dapat digubal segera dalam sesi Parlimen sekarang supaya ia boleh digunakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

- Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin

Bangkang Sukar dilaksanakan, prosedur tidak jelas

AKTA Pendanaan Politik sukar untuk dilaksanakan kerana terdapat beberapa perkara yang saya lihat masih tidak jelas.

Kita perlu tengok dari sudut proses bagaimana akta pendanaan politik boleh dilakukan dan diuruskan tapi ia belum jelas lagi.

Bila satu akta itu dibuat di Parlimen, bagaimana dari aspek ketelusan dan birokrasi itu? Maksudnya macam mana prosedur pelaksanaan bagi akta pendanaan politik itu dibuat?

Sudah tentu, kalau kita tengok dari sudut akta pendanaan politik di Parlimen, objektifnya memang jelas maksudnya apa-apa peruntukan luar mesti diisytiharkan supaya lebih telus dan tidak ada penyalahgunaan kuasa.

Hussain Yusri

Ia bukan sekadar akta itu sahaja, kita perlu juga melihat dari segi perundangan. Jadi terdapat beberapa perkara yang perlu kita teliti dan pertimbangkan.

Begitu juga dengan aspek kawalan, maksudnya bila akta tersebut digubal di mana berlakunya proses semak dan imbang itu? Maknanya pelaporan itu siapa akan kawal perkara berkenaan?

Sekarang ini, apa sahaja yang berlaku berada di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereka akan siasat. jadi sekiranya akta pendanaan politik dilaksanakan, ke mana sebenarnya kita hendak bawa kata ini?

Sekarang ini bukan soal isu salah guna duit tapi masalah jika dana diterima tidak diisytiharkan, jadi siapa yang akan mulakan prosiding itu?

- Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!