PENGENDALI Portugal, Roberto Martinez menegaskan pasukannya tidak memandang rendah Georgia ketika tewas mengejut 2-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan Euro 2024 pada awal pagi Khamis.
Gol awal Khvicha Kvaratskhelia dan penalti pada separuh masa kedua oleh Georges Mikautadze memberikan Georgia kemenangan menakjubkan di Gelsenkirchen yang menyaksikan mereka layak ke pusingan 16 terakhir dalam penampilan pertama di pertandingan itu.
Bagaimanapun, Portugal telah pun layak ke pusingan seterusnya sebagai juara Kumpulan F dan Martinez melakukan lapan pertukaran pada kesebelasan utamanya.
"Kami tidak memandang rendah Goergia tetapi memang benar mereka bermain perlawanan terbesar dalam sejarah mereka.
"Kami bermain perlawanan terakhir apabila kami sudah berada di puncak kumpulan dan sukar untuk kami menyamai semangat mereka.
"Kami juga melepaskan gol awal yang mana Georgia mahu dan perlukan. Kemudian selepas itu kami tidak mempunyai bola akhir yang cukup baik untuk menjaringkan gol dan penjaga gol mereka bermain dengan sangat baik.
"Kami tidak dapat menjaringkan gol yang memberikan Georgia kekuatan dan kepercayaan tambahan, dan mereka berhak mendapat kemenangan ini," katanya.
Hanya kapten Cristiano Ronaldo, Joao Palhinha dan penjaga gol Diogo dikekalkan dalam pasukan Portugal berikutan kemenangan 3-0 ke atas Turki yang telah mengesahkan mereka layak ke pusingan 16 terakhir dengan berbaki satu perlawanan.
Martinez juga menggantikan Ronaldo pada pertengahan separuh masa kedua, dan dia mengakui dia melakukan banyak perubahan dengan melihat pada perlawanan peringkat 16 terakhir mereka yang akan datang.
"Objektifnya adalah untuk memastikan pemain bersedia sebaik mungkin untuk pusingan 16 terakhir," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!