Harga murah faktor rakyat pendapatan rendah pilih makanan kurang sihat - KRI

Iklan
Faktor peningkatan ketersediaan dan akses terhadap makanan kurang sihat turut menyebabkan pengambilan diet yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat. Foto hiasan 123RF

SHAH ALAM - Faktor harga menjadi penyumbang utama pemilihan makanan kurang sihat oleh keluarga berpendapatan rendah yang mendorong pertambahan masalah malnutrisi dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Penyelidik Bersekutu Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Teoh Ai Ni melalui kertas perbincangan bertajuk ‘Unhealthy but not by Choice: Food Environment and Nutrition' berkata, ia berikutan makanan kurang sihat lebih murah dan mudah diperolehi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, golongan yang menghadapi kekangan masa juga memiliki kecenderungan sama walaupun mempunyai kemampuan untuk membeli makanan lebih segar dan sihat kerana lebih mudah didapati.

"Walaupun kesan daripada persekitaran pemakanan yang tidak sihat bersifat meluas tetapi kebiasaannya impak tersebut tidak sama rata terutama bagi golongan miskin atau berpendapatan rendah, kanak-kanak, remaja dan kesibukan.

Iklan

"Kajian-kajian tempatan telah membuktikan bahawa kebanyakan promosi makanan tidak sihat dalam televisyen dan platform video dalam talian lebih menyasarkan kanak-kanak.

"Namun, golongan remaja juga perlu diberi perhatian kerana kajian lanjut menunjukkan mereka juga menghadapi risiko sama iaitu terdedah dengan pemasaran digital yang meyakinkan,” katanya pada Khamis.

Iklan

Tambah Ai Ni, faktor peningkatan ketersediaan dan akses terhadap makanan kurang sihat turut menyebabkan pengambilan diet yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, ketersediaan makanan tinggi kalori serta lemak, gula atau garam semakin meningkat dan kadar pengambilan makanan di luar rumah juga menyumbang kepada kesukaran untuk makan secara sihat.

"Platform dalam talian menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan telah memberikan akses mudah kepada makanan segera dan minuman bergula selain menyumbang terhadap ketersediaan pilihan makanan tidak sihat sepanjang masa.

"Pada masa sama, kos pemakanan sihat juga kian meningkat. Ini bermakna, mereka yang miskin atau berpendapatan rendah semakin tidak mampu untuk memilih makanan sihat.

"Walaupun buah-buahan atau sayur-sayuran satu keperluan dalam diet sihat, kumpulan makanan ini adalah komponen terbesar melibatkan kos yang menjadikannya bukan lagi pilihan makanan yang mampu dibeli oleh semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ai Ni berkata, wujud keperluan untuk menjadikan pilihan makanan sihat lebih tersedia, mudah diakses dan diminati berbanding pilihan tidak sihat.

"Antaranya mengukuhkan pendekatan berfokuskan nutrisi dan pendidikan pengguna dengan intervensi persekitaran makanan untuk mengatasi isu malnutrisi di semua peringkat dengan lebih berkesan.

"Selain itu, menambah baik dasar persekitaran makanan sedia ada seperti cukai minuman bergula, logo pilihan lebih sihat dan garis panduan pengiklanan makanan segera untuk menangani ketidaksamaan pilihan makanan dengan lebih tepat.

"Terakhir, memperluas skop dasar persekitaran makanan untuk menangani cabaran baharu yang timbul akibat pemasaran digital makanan yang meluas, perubahan dalam sektor runcit makanan dan peningkatan kadar makan di luar,” katanya lagi.