Sindiket along kenakan 'bunga' tinggi tumpas

Iklan
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu. Gambar kecil: Zainol

MELAKA - Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket along mengenakan bayaran 'bunga' tinggi dalam serbuan Op Vulture di sebuah kondominium mewah, Jalan Tun Perak, di sini, pada Selasa lalu.

Iklan
Iklan

Serbuan kira-kira jam 12.40 tengah hari yang dilakukan sepasukan polis dari Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) telah menahan seramai tujuh suspek berusia antara 18 hingga 48 tahun.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil risikan dan siasatan yang dilakukan mendapati kumpulan itu mula aktif sejak enam bulan lalu dengan menyasarkan peminjam dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Iklan

Menurutnya, perkhidmatan tersebut diiklankan di laman sosial Facebook dengan tawaran pinjaman bermula RM500 sehingga RM5,000 selain mengenakan kadar 'bunga' tinggi antara 10 sehingga 20 peratus seminggu.

"Pelanggan yang berminat akan dihubungi melalui aplikasi WhatsApp sebelum melakukan transaksi pindaan wang melalui dalam talian ke akaun bank peminjam.

Iklan

"Pelanggan juga akan diberikan satu akaun yang dipercayai untuk membuat bayaran balik pinjaman yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Jelasnya, soal siasat yang dilakukan terhadap kesemua suspek mereka mendakwa mengambil upah mencari pelanggan dengan bayaran antara RM1,500 sehingga RM3,000 diterima, bergantung kepada pangkat serta komisyen mengikut jumlah pinjaman.

Katanya, turut dirampas wang tunai berjumlah RM1,213, 21 keping kad mesin juruwang automatik (ATM), 14 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga unit desktop dan sebuah komputer riba.

"Malah semakan yang dilakukan mendapati lima daripada suspek masing-masing mempunyai rekod lampau jenayah berkaitan kes dadah, kes tipu dan judi.

"Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 29 Jun ini dan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951," katanya lagi.