DUNGUN - Seorang wanita maut manakala dua anaknya cedera dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 94.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Paka, dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi apabila kereta Perodua Kancil dipandu mangsa, Nabilah Harun, 55, bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia yang terbabas sebelum dirempuh pula oleh sebuah lori jenis Isuzu di belakangnya.
"Siasatan awal mendapati kereta Perodua Kancil dipandu mangsa dan lori jenis Isuzu dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan manakala pemandu kereta Perodua Axia memandu dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.
"Kemalangan berlaku apabila srcara tiba-tiba pemandu kereta Perodua Axia dari arah bertentangan terbabas memasuki laluan dan kemudian melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan dipandu mangsa.
"Akibat pertembungan tersebut, kereta dinaiki mangsa telah berpusing memasuki lorong kiri dan dilanggar pada bahagian hadapan sebelah kanan oleh pemandu lori jenis Isuzu yang datang dari arah belakang," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Maizura berkata, akibat kemalangan itu mangsa yang cedera parah pada beberapa bahagian badan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Dungun.
Selain itu, katanya, dua anak Nabilah iaitu Wan Muhammad Usamah Wan Rozali, 17, dan Wan Soffiyah, 19, pula masing-masing cedera ringan pada bahagian hidung dan mulut.
"Pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan manakala lelaki berusia 43 tahun memandu kereta Perodua Axia itu hanya mengalami cedera ringan.
"Dua anak Nabilah dan pemandu kereta Perodua Axia itu dihantar ke Klinik Kesihatan Paka untuk menerima rawatan susulan," ujarnya.
Maizura berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!