Reman suspek bunuh isteri disambung enam hari lagi

Iklan
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah bagi permohonan reman siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BATU GAJAH - Polis mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh reman terhadap seorang lelaki yang menyerah diri dan mengaku membunuh isterinya di sebuah bilik hotel di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, perintah reman selama enam hari sehingga Rabu depan itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Batu Gajah pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, permohonan melanjutkan tempoh tersebut dibuat selepas perintah reman selama tujuh hari membabitkan suspek berusia 37 tahun itu tamat hari ini.

"Suspek disambung reman enam hari lagi," katanya ringkas.

Iklan

Suspek sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Seramai 12 individu melibatkan saksi-saksi kejadian termasuk ibu mangsa berusia 56 tahun telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Iklan

Dalam kejadian 20 Jun itu, jasad mangsa ditemui polis dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata pisau di bilik hotel berkenaan.

Perkara itu terbongkar selepas suspek hadir menyerah diri ke Balai Polis Batu Gajah sekitar jam 2 petang dan mengaku telah membunuh isterinya.

Polis memaklumkan, suspek dan mangsa hadir ke hotel itu secara berasingan, namun menginap di bilik yang sama sehari sebelum kejadian.

Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh walaupun telah dipujuk.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mangsa, Nisya Syahkila Shaharun, 32, pernah mengadu dan membuat laporan polis selepas beberapa kali menerima ugutan jenayah termasuk bunuh daripada suaminya itu.

Kali terakhir Allahyarham membuat laporan polis sekitar Mei lepas yang membawa kepada penahanan lelaki terbabit di Klang, Selangor, namun kes tidak dapat diteruskan kerana dikatakan tidak cukup bukti.

Ugutan menerusi panggilan telefon, WhatsApp dan pesanan suara sejak lebih setahun lalu diterima selepas mangsa mengambil keputusan untuk bercerai, namun tidak dipersetujui oleh suaminya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!