JEMPOL - Bangunan Medan Selera Pusat Bandar Palong di Felda Palong 4,5 dan 6 di sini sudah siap dibina sejak Ogos tahun lalu, namun sehingga kini ia didakwa masih belum beroperasi.
Penantian penduduk untuk mendapatkan sebuah bangunan perniagaan yang sistematik dan lengkap dengan kemudahan asas sejak lebih 40 tahun itu kini jadi tanda tanya.
Penduduk, Zalinah Mohamad, 54, berkata, pihaknya berharap medan selera itu segera beroperasi bagi mengelakkan kemudahan yang ada di situ rosak atau menjadi mangsa vandalisme.
"Medan selera ini bukan sahaja boleh menempatkan seorang peniaga tetapi 10 orang sekali gus diyakini dapat memeriahkan lagi aktiviti ekonomi penduduk terutamanya golongan muda," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi pada Khamis.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Palong 6, Jamaludin Abd Gani pula melahirkan rasa kecewa apabila medan selera itu belum dapat diserahkan berikutan belum dilengkapi kemudahan asas seperti elektrik dan air.
"Kedudukan medan selera ini strategik dan ia merupakan pusat perniagaan yang ditunggu-tunggu penduduk sejak sekian lama," katanya.
Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor yang hadir ke lokasi bagi melihat perkembangan projek berkenaan dengan agensi terlibat termasuk agensi pelaksana, Pejabat Pembangunan Negeri,Negeri Sembilan berkata,beliau juga terkesan dengan kelewatan operasi medan selera itu selepas ia siap dibina hampir setahun lalu dengan peruntukan lebih kurang RM400,000.
Ujarnya, ia sepatutnya boleh beroperasi hujung tahun lalu atau awal tahun ini.
Justeru, pihak pelaksana perlu mengambil tindakan pantas untuk menyelesaikan masalah ini bagi mengelakkan isu lain pula yang timbul.
"Sebuah lagi kemudahan sama turut berdepan isu sama iaitu Medan Selera Palong 7 dan 8 dan Jeram Panjang. Selagi kemudahan ini tidak dapat digunakan selagi itulah rakyat akan mempersoalkannya dan menyalahkan pemimpin setempat.
"Kalau kita tengok kawasan pusat bandar di sini, tak ada satu tempat yang sesuai untuk orang berniaga sebab itu mereka terpaksa buka gerai tepi jalan dan di simpang yang berbahaya.
"Sebagai contoh di Felda Palong 4,5 dan 6 ini terdapat 1,600 unit kediaman, tentunya 'food court' ini akan menjadi tumpuan selain mampu menjana ekonomi peniaga di sini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!