Harus bagi lelaki guna produk penjagaan muka, kulit

Iklan
HARUS bagi umat Islam lelaki untuk menggunakan produk penjagaan kulit dan muka. -Foto: Canva

TIDAK kiralah sama ada lelaki mahupun wanita, semuanya ingin tampil selesa dengan wajah yang kemas dan rapi.

Bukanlah mahu tampil begitu bergaya, tetapi cukup sekadar mata sedap memandang dan rasa yakin ketika berada di khalayak.

Iklan
Iklan

Sebab itulah tidak pelik jika kita melihat ada lelaki memakai pembersih wajah untuk kesihatan dan kesegaran muka mereka.

Namun begitu, terdapat segelintir kaum Adam yang menghadapi masalah pada kulit atau wajahnya hingga dirasakan mencacatkan penampilannya.

Iklan

Bagaimanapun mereka bimbang untuk memakai produk penjagaan wajah atau kulit selain pencuci muka kerana bimbang ia menyamai kaum Hawa.

Sebenarnya bolehkah golongan lelaki menggunakan produk penjagaan muka atau kulit?

Iklan

Sebelum menjawab persoalan itu, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan terlebih dahulu tentang kajian kulit yang dilakukan oleh pakar supaya kita jelas tentangnya.

TERDAPAT segelintir kaum Adam yang menghadapi masalah pada kulit atau wajahnya hingga dirasakan mencacatkan penampilannya, tetapi bimbang untuk memakai produk penjagaan wajah atau kulit selain pencuci muka kerana khuatir ia menyamai kaum Hawa. -Foto: Canva

"Menurut pakar kajian kulit, tiada spesifik (produk perawatan kulit) untuk lelaki atau wanita.

"Sebenarnya menjadi keperluan sama bagi lelaki atau wanita untuk menggunakan penjagaan kulit yang sesuai. Maka wanita boleh gunakan produk untuk lelaki sekiranya sesuai dengan kulitnya.

"Begitu juga dengan lelaki asalkan tidak menimbulkan masalah pada kulit mereka,” katanya sebagaimana dipetik menerusi e-kemusykilan portal soal jawab agama Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Dari segi pemakaian produk penjagaan muka, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, terdapat kaedah-kaedah umum dalam penggunaanya agar menepati garis panduan ditetapkan.

Berikut perinciannya:

1. Produk itu mesti dihasilkan daripada bahan halal, manakala yang diperbuat daripada bahan-bahan tidak halal atau tidak suci hukumnya adalah najis dan tidak boleh dibawa dalam solat.

KEHARUSAN lelaki menggunaan produk penjagaan kulit dan muka tertakluk selagi mana ia diperbuat daripada bahan-bahan yang halal, tidak mengandungi najis dan tidak memudaratkan. -Foto: Canva

2. Penggunaannya mestilah atas tujuan dan niat untuk membersih, merawat dan menjaga kulit muka, bukannya berniat lain iaitu riak dan menunjuk-nunjuk.

3. Pemakai produk penjagaan itu hendaklah membasuh muka sebelum berwuduk. Dibimbangi ia akan menghalang air dari terkena kulit wajah.

4. Produk tidak menggunakan bahan-bahan yang boleh membawa kemudaratan yang diharamkan kerana Islam melarang umatnya mencampakkan diri mereka ke lembah kemudaratan.

"Keharusan ini tertakluk selagi mana produk tersebut diperbuat daripada bahan-bahan yang halal, tidak mengandungi najis dan tidak memudaratkan.

"Sementara itu, dari segi hukum lelaki menggunakan produk penjagaan wajah wanita pula adalah harus sekiranya ia digunakan untuk tujuan membersih dan merawat kulit wajah dan bukannya dengan tujuan kesombongan atau meniru penampilan kaum Hawa yang sama sekali dilarang dalam agama,” katanya.