SUNGAI BAKAP - Krisis air di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan tetap diberi keutamaan seperti mana yang diperjuangkan selama ini.
Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, masalah air yang diketengahkan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff (Pas) akan terus diangkat oleh calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail jika dipilih sebagai wakil rakyat.
Muhammad Fawwaz yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, sebelum ini, Allahyarham Nor Zamri telah berikrar dan menyusun strategi untuk menyelesaikan isu air di Mukim 5 Sungai Bakap.
"Selama enam tahun masalah air berlarutan di Mukim 5 sehinggakan pada tahun 2022, sejumlah penduduk turun berhimpun di hadapan DUN Pulau Pinang bagi menuntut hak air bersih daripada kerajaan negeri.
"Namun, tiada kedengaran sebarang solusi daripada pihak kerajaan yang diwakili ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehinggalah usul ini dibawa ke dalam sidang DUN dan menjadi satu topik hangat yang dibicarakan," dakwanya.
Menurut Muhammad Fawwaz, usaha berkenaan tidak terhenti di situ, pertemuan demi pertemuan bersama penduduk, syarikat operator dan agensi berkaitan terus diatur bagi mencari solusi terbaik dalam menoktahkan permasalahan ini.
"Allahyarham juga gigih menyingsing lengan menyantuni rumah-rumah yang terjejas dengan masalah air.
"Terbukti, sepanjang perkhidmatan, beliau tidak bercakap sahaja namun tetap melaksanakan amanah yang dipikul,"katanya.
Menurut Muhammad Fawwaz, usaha perjuangan tersebut akan diteruskan Abidin yang merupakan bekas Pegawai Khas Nor Zamri dan bekerja rapat dengan Allahyarham bagi menyelesaikan isu utama penduduk Sungai Bakap tersebut.
"Oleh itu, rakyat Sungai Bakap perlu menaikkan dan memilih serta mengundi calon nombor dua tersebut supaya perjuangan ini dapat diteruskan.
"Jangan risau, Kerajaan Perpaduan telah memberi jaminan meneruskan komitmen membantu mengatasi isu air sekalipun jika calon Pakatan Harapan (PH) kalah dalam PRK kali ini," katanya.
Maka, jelasnya, demi satu ketumbukan yang lebih jitu, calon PN perlu memenangi PRK kali ini dan menjadi suara yang seimbang dalam sidang DUN kelak.
Dalam PRK Sungai Bakap, Abidin akan berentap dengan calon PH, Dr Joohari Ariffin yang merupakan mantan pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara.