Piala FA: Kedah mahu kekang kebangkitan Penang FC

Iklan
Kehadiran semula Rizal Ghazali (tengah) memberi lebih pilihan kepada pertahanan KDA FC pada suku akhir Piala FA 2024-2025. Foto KDA FC.

KEDAH Darul Aman (KDA) FC bersedia untuk menerima asakan bertali arus Penang FC apabila sekali lagi bertembung pada aksi derbi utara suku akhir pertama Piala FA 2024-2025 di Stadium Bandaraya pada malam Jumaat.

Penang FC bagaikan Harimau Kumbang yang terluka selepas tewas 0-1 kepada Sang Kenari di laman sendiri pada perlawanan Liga Super, 22 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Menurut pengendali KDA FC, Nafuzi Zain, perkara tersebut akan diberikan perhatian oleh pasukan untuk mengekang Penang FC yang pastinya mahu bangkit memburu keputusan positif pada perlawanan tersebut.

"Kedah berjaya menang pada aksi Liga Super minggu lalu, tapi cabaran pada suku akhir pertama Piala FA kali ini berbeza kerana kedua-dua pasukan sudah faham dengan kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Iklan

"Kedah perlu elak sebarang kelekaan selepas kemenangan sebelum ini. Pemain perlu kembali fokus untuk saingan berbeza Piala FA yang akan berlangsung sekali lagi di tempat lawan," katanya semasa ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada petang Rabu.

Jelas Nafuzi, Sang Kenari memburu bekalan positif selain mahu mengelak dibolosi pada perlawanan tersebut untuk dibawa pada aksi kedua di Stadium Darul Aman pada 5 Julai ini.

Iklan

Menurutnya, kehadiran beberapa tonggak di barisan pertahanan seperti Rizal Ghazali dan Akmal Zahir yang sebelum ini tidak dapat diturunkan pada saingan Liga Super diharapkan dapat memperkukuhkan lagi kubu pasukan berkenaan.

"Akmal dan Rizal sebelum ini tidak dapat beraksi dijangka berpeluang untuk beraksi. Saya harap setiap pemain mampu bersedia sepenuhnya dalam mengejar misi Piala FA," ujarnya lagi.

Tambahnya, perhatian juga turut diberikan untuk mempertajamkan serangan Sang Kenari kerana lawan dilihat dibarisi pemain pertahanan yang berkualiti dan sukar untuk ditembusi berdasarkan aksi minggu lalu.

"Penyerang kami, Ebenezer Assifuah kini sedang menunjukkan peningkatan.

"Saya harap ini dapat menguatkan lagi jentera serangan yang cukup penting untuk membantu Kedah mendapatkan gol bekalan," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!