GERIK -"Jarak gajah itu dengan kami sangat dekat, mujurlah tidak melintas jalan."
Demikian kongsi Mohamad Zaki Musa, 46, Ketua Peserta Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan Sempena 25 tahun pengiktrafan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik di sini pada Rabu.
Laluan peringkat ke-6 dari UiTM Machang, Kelantan ke Belum Rainforest Resort dekat Pulau Banding itu bukan sahaja mencabar kerana laluan berbukit, malah berdepan risiko kehadiran gajah liar.
Mohamad Zaki berkata, kesemua 12 peserta kayuhan telahpun diberikan taklimat dan penerangan keselamatan lebih awal risiko melalui kawasan itu.
Menurutnya, mereka juga disaran untuk melalui kawasan itu pada waktu siang kerana kebiasaannya kawanan gajah liar tidak berada di atas jalan raya kerana permukaan jalan tar yang panas.
"Kami diiringi kenderaan polis, jadi dari segi keselamatan sangat terjaga dan diawasi.
"Cuma bila terserempak seekor gajah, rasa cemas juga, nasiblah haiwan itu menampakkan diri dari belakang sahaja dan pegun di sebalik pokok di tepi jalan.
"Ini situasi pertama kami berdepan kehadiran gajah dan menjadi pengalaman paling berharga sepanjang ekspedisi kayuhan ini," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi penamat peringkat ke-6 di Belum Rainforest Resort di sini pada Rabu.
Pembantu tadbir kewangan UiTM Shah Alam yang pernah menyertai cabaran Ironman Langkawi itu mengakui, laluan berbukit merentasi Banjaran Titiwangsa sepanjang 189 kilometer itu paling mencabar sepanjang ekspedisi berlangsung bermula 20 Jun lalu.
Katanya, paras ketinggian yang perlu ditempuh peserta kayuhan mencapai lebih 1,000 meter.
"Kami mendaki laluan dalam keadaan cuaca panas dan hujan pula apabila menuruni laluan yang curam.
"Alhamdulillah berkat latihan dijalankan, semua peserta dapat beri kerjasama yang membuatkan kayuhan ini berjaya ke peringkat sekarang," katanya.
Sementara itu, Norlizan Wahid, 43, yang menjadi satu-satunya peserta wanita berbangga kerana dapat menamatkan kayuhan peringkat ke-6 tanpa sebarang kecederaan mahupun kerosakan kepada basikal.
Pensyarah Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Pulau Pinang yang aktif dalam aktiviti berbasikal sejak 2020 itu menjalani latihan ketat sejak tiga bulan lalu di bawah bimbingan suami sebagai persediaan kayuhan tersebut.
"Memang ada masanya saya dah tak larat nak kayuh, tetapi dapat juga teruskan kerana semua memberi semangat.
"Kelajuan biasanya mereka ikut kemampuan kelajuan saya kerana bimbang kalau-kalau saya tertinggal," katanya.
Pada Khamis, semua peserta meneruskan kayuhan bagi laluan peringkat ke-7 dari Pulau Banding ke UiTM Arau, Perlis sejauh 198 kilometer.
Majlis pelepasan disempurnakan Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Shahrin @ Sahib Sahibuddin; Penasihat Pulau Banding Foundation, Maria Abd Rahman dan Pengurus Pulau Banding Foundation, Zulfadhlan Ahmad Khushairi.
Kayuhan selama dua minggu merentasi 11 peringkat laluan di seluruh Semenanjung Malaysia sejauh 2,000 kilometer itu akan berakhir pada 2 Julai ini di UiTM Shah Alam.
Simbolik kayuhan ini adalah membawa kapsul yang mengandungi hasrat serta harapan setiap kampus UiTM dan akan dipahatkan di sebuah monumen yang dibina dan dirasmikan semasa sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos depan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!