KOTA KINABALU - Pasukan bomba cuba menyelamatkan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan di kawasan parkir sebuah pusat beli belah di Jalan Lintas, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 30 tahun tersebut didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum bertindak menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.35 tengah hari.
Menurutnya, seramai empat anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh enam kilometer dari BBP Lintas.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi, mangsa didapati terkunci dalam kereta jenis Perodua Myvi dan dipercayai tidak sedarkan diri.
"Operasi mengeluarkan mangsa segera dilakukan dengan memecahkan cermin kereta tersebut dan mangsa segera dipindahkan ke jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Katanya lagi, maklumat mengenai mangsa tidak diperoleh dan operasi tersebut ditamatkan sebaik mangsa diserahkan kepada pihak hospital.
"Operasi ditamatkan pada jam 1.05 petang selepas mangsa menerima rawatan di hospital," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!