PADANG TERAP - Seorang imam yang sedang menyampaikan kuliah agama tiba-tiba rebah dan meninggal dunia pada Rabu malam di Masjid Al Falah, Kampung Bukit Nambua, Kuala Nerang di sini.
Kejadian terbabit disaksikan oleh lebih 40 jemaah yang sedang mendengar kuliah disampaikannya.
Anaknya, Muhammad Faiz Helmi Ismail, 32, berkata, Allahyarham bapanya Ismail Md Taib, 75, sedang menyampaikan kuliah selepas selesai solat Maghrib kira-kira jam 8.30 malam.
"Ketika itu arwah ayah sedang mengajar sebelum suasana tiba-tiba terdiam dan sepi sebaik para jemaah melihat arwah yang duduk di ruang hadapan saf rebah ke kiri.
Menurutnya, doktor yang merawat kemudian mengesahkan ayahnya telah meninggal dunia.
Muhammad Faiz berkata, bapanya itu sering mengajar kitab di masjid berkenaan pada setiap malam Rabu.
"Sejak berhenti mengajar sekolah agama, arwah aktif mengajar kitab di mana-mana sahaja cuma sejak berusia 70-an ini arwah menumpukan perhatian di masjid itu sahaja dan surau berdekatan kerana masalah kesihatan.
"Kami reda dengan pemergian allahyarham apatah lagi beliau ‘pergi’ ketika menyampaikan ilmu agama," ujarnya.
Katanya, jenazah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Falah jam 11 pagi pada Khamis.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superitenden Mulkiaman Manzar mengesahkan menerima laporan kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!