Norway akan terima pesakit dari Gaza

Iklan
Perdana Menteri Norway sahkan negara Nordik itu akan menerima dan merawat warga Palestin yang cedera dari Semenanjung Gaza. Foto Xinhua

LONDON - Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store pada Khamis mengesahkan bahawa negara Nordik itu akan menerima dan merawat warga Palestin yang cedera dari Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan.

Norway akan turut serta dalam usaha antarabangsa untuk membantu rakyat Palestin yang amat memerlukan rawatan hospital, menurut saluran media VG.

Iklan
Iklan

Pengumuman itu dibuat selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama EU menyatakan bahawa 9,000 warga Palestin perlu dipindahkan bagi rawatan segera menjelang akhir 2024, di tengah-tengah serangan kejam Israel ke atas Gaza.

Selain itu, Norway akan menyumbang kepada pesawat bagi mengangkut pesakit Palestin ke negara lain.

Iklan

"Dengan cara ini, kami dapat membantu lebih ramai orang berbanding yang mampu kami bawa ke Norway untuk mendapatkan rawatan,” kata Store kepada VG.

Perdana menteri berkata, kerajaan memutuskan bahawa sehingga 20 pesakit dengan ahli keluarga dari Gaza boleh diterbangkan ke Norway untuk menerima rawatan di hospital Norway.

Iklan

"Situasi kemanusiaan di Gaza adalah malapetaka. Sistem kesihatan telah runtuh. Oleh itu, perkara paling penting yang Norway boleh lakukan adalah menyokong kerja kesihatan dan kemanusiaan di Gaza dan kawasan sekitarnya,” kata Store.

Bulan lalu, Norway secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Organisasi kesihatan dan PBB pada Disember lepas memberi amaran bahawa sistem penjagaan kesihatan di Gaza telah runtuh.

Hanya 12 daripada 36 hospital di Gaza beroperasi sebahagiannya, menurut laporan terkini.

Lebih 37,700 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 86,400 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Hampir sembilan bulan sejak serangan Israel, kawasan Gaza yang luas musnah di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!