Masalah enjin dipercayai punca pesawat ringan mendarat cemas

Iklan
Pesawat ringan dipercayai alami masalah teknikal sebelum membuat pendaratan cemas di kawasan lapang di Bandar Sultan Suleiman, Klang pada Khamis. Gambar kecil: Vijaya Rao

KLANG - Masalah enjin gagal berfungsi dipercayai punca pesawat ringan Piper PA-28-161 mendarat cemas di kawasan lapang tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Bandar Sultan Suleiman di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira jam 3.30 petang.

Iklan
Iklan

"Sepasukan anggota polis telah digerakkan ke lokasi dan mendapati dua kru iaitu juruterbang dan pelatih masing-masing berusia 57 tahun serta 23 tahun dalam keadaan selamat.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa pesawat sedang menjalani latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Kuala Selangor.

Katanya, pesawat dipercayai mengalami kegagalan mekanikal iaitu enjin gagal berfungsi semasa di udara.

Iklan

"Jurulatih kemudian mengambil tindakan untuk mendaratkan pesawat," ujarnya.

Tambah Vijaya Rao, kes ini diambil alih oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat dengan pendaftaran 9M-ANA yang dikendalikan oleh Kelab Penerbangan Subang dinaiki dua individu telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 2.50 petang.

Siasatan akan dijalankan di bawah Bahagian XXIII Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.