Ahli Parlimen gesa pengerusi Suhakam baharu dilantik segera

Iklan
Suhakam

KUALA LUMPUR - Beberapa Ahli Parlimen pada Khamis menggesa supaya pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang baharu dilantik dengan segera bagi memastikan suruhanjaya itu dapat menjalankan fungsi dan peranannya berhubung hak asasi manusia dengan sempurna.

Pada sesi perbahasan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi Tahun 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, pelantikan jawatan tertinggi suruhanjaya itu telah tertangguh lebih 10 bulan sejak Datuk Rahmat Mohamad meletak jawatan pada Ogos tahun lepas.

Iklan
Iklan

"Saya mencadangkan supaya pelantikan pengerusi yang baharu dilakukan segera dan individu yang dilantik mestilah mempunyai keupayaan memimpin dan menguruskan Suhakam dengan cekap serta berintegriti tinggi khususnya dalam menyelesaikan isu-isu yang sensitif.

"Kelewatan akan membuatkan ramai tertanya-tanya dan timbul persepsi tidak baik terhadap proses pelantikan... justeru itu, ia mesti dipercepatkan tanpa ada campur tangan luar,” katanya.

Iklan

"Benar, kuasa melantik pengerusi Suhakam di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat dan syor Perdana Menteri seperti yang diperuntukan di bawah Sekyen 5 (2) akta itu dan berundinglah dengan jawatankuasa itu, namun dalam perkara mustahak ini, saya mohon merujuk kepada JKPK terlebih dahulu,” katanya.

Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) pula meminta bilangan Pesuruhjaya Suhakam ditambah dengan pelantikan daripada golongan minoriti seperti Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU), wakil masyarakat dan ahli profesional sekali gus membolehkan komposisi jawatan lebih inklusif.

Iklan

"Seksyen 5(1) Akta Suhakam memperuntukkan bilangan pesuruhjaya tidak melebihi 20 orang tetapi pada masa ini Suhakam hanya ada sembilan orang pesuruhjaya iaitu empat wanita dan lima lelaki. Kenapa 11 kekosongan ini tidak diisi dengan pelantikan daripada golongan minoriti supaya lebih pelbagai,” katanya.

Selain itu, Ahli-Ahli Parlimen yang menyertai perbahasan itu juga turut membangkitkan beberapa isu, antaranya rizab tanah adat Orang Asli, kes kematian dalam tahanan polis dan depoh tahanan, serta isu permohonan kewarganegaraan yang tertunggak.

Terdahulu, usul itu dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang bertujuan untuk membahaskan dan membincangkan isu dan syor yang terkandung dalam kedua-dua laporan tahunan itu.

Azalina berkata, sejak laporan tahunan suruhanjaya itu dibentang dan dibahaskan buat pertama kali pada 25 Mei tahun lepas, Kerajaan MADANI dengan komitmen serta iltizam politik, membawa usul sama pada sidang kali ini.

"Dalam mengiktiraf kepentingan Suhakam sebagai barisan hadapan hak asasi manusia di negara ini, Kerajaan Madani sentiasa berusaha untuk memperkasakan Suhakam selaku badan berkanun yang boleh terus memainkan peranan dalam memastikan sistem semak dan imbang berjalan dengan baik,” katanya.

Persidangan bersambung Isnin. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!