PETALING JAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melakukan kajian menyeluruh mengenai keperluan memperkukuh kerangka perundangan e-dagang untuk membantu mewujudkan ekosistem lebih kondusif dalam pembangunan sektor itu.
Menteri berkenaan, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian dijalankan dengan kerjasama konsultan yang dilantik bermula pada bulan lepas dan dijangka selesai dalam tempoh setahun bertujuan memastikan kepentingan dan hak pengguna sentiasa terpelihara.
"Kita ambil perhatian aduan yang kita terima hingga 31 Mei lepas, keseluruhan sebanyak 19,937 aduan olah pelbagai pihak di platform KPDN dan daripada jumlah itu 5,094 aduan berkaitan transaksi e-dagang.
"Jadi kita lihat perlunya buat semakan untuk perkukuhkan kerangka perundangan berkaitan e-dagang sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata beberapa akta yang terkait dengan sektor e-dagang berada secara langsung di bawah pemantauan KPDN antaranya Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.
Menurutnya, kerangka asas perlindungan pengguna turut terangkum dalam Akta Kontrak (1950) dan Akta Jualan Barangan 1957 yang masih terpakai dan perlu dilakukan semakan bagi meningkatkan perlindungan serta hak pengguna.
Armizan berkata, dapatan kajian hasil maklum balas dengan semua pihak termasuk komuniti peniaga sedia ada di platform e-dagang akan dikemukakan untuk melihat keperluan mewujudkan satu perundangan atau akta khusus serta pindaan kepada kerangka perundangan akta sedia ada.
"Kita yakin dengan adanya kerangka perundangan yang lebih komprehensif serta bersesuaian dengan tuntutan semasa dan perkembangan teknologi, kita akan dapat memberikan perlindungan lebih baik kepada pengguna sekali gus membina keyakinan orang ramai untuk menggunakan platform e-dagang," katanya.
Beliau berkata, Malaysia menyasarkan pencapaian RM1.25 trillion menjelang 2025 selepas sektor e-dagang di negara ini menunjukkan pencapaian melepasi angka satu trillion sejak 2021.
Sementara itu, beliau meminta pengguna untuk menyalurkan aduan mengenai peniaga yang tidak memaparkan harga pada barang jualan kepada KPDN untuk tindakan penguatkuasaan dengan segera.
"Saya bagi jaminan sebaik sahaja aduan diberikan dengan maklumat bersesuaian kita akan membuat penyiasatan secepat mungkin.
"Buat aduan di media sosial memang tiada masalah tetapi kalau aduan disalurkan kepada platform sedia ada dengan maklumat tepat lagi mudah kita buat siasatan segera. Kalau viralkan dahulu mereka yang melakukan kesalahan boleh menyembunyikan kesalahan itu," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!