KUANTAN - Hadiah wang tunai lebih RM60,000 menanti pemenang pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Shimano Surfcasting Challenge di Pantai Sepat di sini Ahad ini.
Pertandingan anjuran Kelab Pemancing Surfcast Profesional Bersatu Malaysia (MUPSAC) itu mendapat sokongan Tourism Malaysia dalam memartabatkan tema Cuti-Cuti Malaysia - melancong dalam negara.
Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, naib juara menerima RM4,000 dan ketiga pula RM2,000.
Pemenang keempat dan kelima menerima RM1,000, keenam hingga 15 akan memenangi RM500, ke 16 hingga 30 (RM300), ke 31 hingga 50 (RM250) dan ke 51 hingga 120 menerima RM200.
Presiden MUPSAC, Mohd Naim Ab Hakim berkata, pertandingan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.
"Kaunter pendaftaran dan pengesahan akan dibuka di acara Open House Shimano di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Manakala kaunter pendaftaran di Pantai Sepat akan dibuka bermula jam 6 petang,’’ katanya.
Selain hadiah wang tunai, penganjur turut menyediakan hadiah cabutan bertuah barangan Shimano serta wang tunai RM1,500 kepada semua peserta dan 600 kemeja-t disediakan bagi pendaftaran awal.
"Pertandingan ini dijangka membantu industri pelancongan domestik dengan pergerakan peserta dari negeri seluruh Semenanjung bagi menyertai acara ini,’’ katanya.
Beliau berkata, Pantai Sepat kaya dengan pelbagai spesies ikan bergred A seperti pari, ebek, gerong belang, bawal emas, todak dan lain-lain.
Yuran penyertaan RM100 untuk satu joran manakala bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) pula yuran yang dikenakan ialah RM60.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!