KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menugaskan anggotanya melakukan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres sempena Ops Tahun Baru Cina bermula 11 Januari sehingga 2 Februari depan.
Pengarahnya, Zulkarnain Mat Yasin berkata, penyamaran dilakukan bagi mengesan kesalahan dilakukan pemandu bas sepanjang tempoh ops berkenaan dijalankan.
"Seramai 20 anggota JPJ menaiki bas menyamar sebagai penumpang bas ekspres melibatkan 39 perjalanan dari laluan Kuala Terengganu- Kota Bharu-Kuala Terengganu dan laluan Kuala Terengganu-Kuantan-Kuala Terengganu.
"Sepanjang tempoh operasi itu, kami mengenal pasti empat kesalahan utama dilakukan pemandu bas iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu tanpa menggunakan alat bebas tangan (dua kes) dan berpakaian tidak kemas (satu kes).
"Selain itu, ada juga pemandu bas dikesan beroperasi di luar kawasan yang ditetapkan (satu kes)," katanya pada sidang media sempena Pelancaran Ops Tahun Baru Cina 2020 Peringkat JPJ Terengganu di Jalan Kampung Cina di sini malam tadi.
Katanya, bagi memastikan setiap bas yang beroperasi pada musim perayaan selamat digunakan, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 50 buah bas ekspres dan kesemuanya didapati mematuhi semua aspek keselamatan fizikal yang ditetapkan seperti brek, tayar dan lampu berfungsi dengan baik.
Menurut Zulkarnain, selain penyamaran, pihaknya juga menggunakan beberapa kaedah lain bagi mengesan kesalahan dilakukan pengguna jalan raya antaranya menerusi rakaman video daripada penguatkuasa, rondaan serta aduan daripada orang ramai.
"Ops Tahun Baru Cina 2020 membabitkan seramai 289 anggota dan penggunaan 26 buah kenderaan peronda dengan menyasarkan penurunan kes kemalangan motosikal kepada 60 peratus sepanjang operasi.
"Kita juga mensasarkan kemalangan dan kematian sifar di lebuh raya serta memberi tumpuan di 23 kawasan kerap berlaku kemalangan melibatkan 15 jalan persekutuan, lima jalan negeri dan tiga Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2," katanya.
Beliau berkata, dalam pada itu, pihaknya akan memfokuskan tujuh kesalahan utama iaitu gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong barisan serta memandu di lorong kanan secara berterusan.
Selain itu, Zulkarnain berkata, kali ini JPJ Terengganu bekerjasama dengan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mengenal pasti pemandu-pemandu yang bekerja sendiri terutamanya pemandu operator e-hailing seperti Grab, myCar dan Maxim, pemandu kereta sewa serta penyedia perkhidmatan penghantaran makanan.
"Ia termasuk Food Panda dan GrabFood berdaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
"Dengan kerjasama ini diharap dapat membantu pihak PERKESO dalam menyalurkan maklumat bagi memudahkan pendaftaran pemandu di bawah SKSPS.
"Saya difahamkan sehingga kini, seramai 1,800 yang sudah berdaftar di bawah SKSPS melibatkan RM190,000 caruman dan sehingga Disember lalu, pembayaran faedah berjumlah RM150.5 juta iaitu membabitkan 3,625 kes," katanya.