Macha macha nee ennoda macha,
Nee illama naanum yaaruda macha,
Lepak panna oru port-u-solluda,
Natpukkaga senja paatu kelu da... Bait-bait lirik lagu Tamil bertajuk Yennode Macha tular di media sosial terutama TikTok. Lagu tersebut dinyanyikan oleh seorang anak muda Melayu bernama Mohd Zubir Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Zubir Khan.
Menurut pemuda berumur 24 tahun itu, dia merupakan anak campuran Melayu-Pakistan. Sejak kecil, dia dibesarkan di kawasan estet dan disebabkan itu, dia fasih dalam empat bahasa iaitu Melayu, Tamil, Urdu serta bahasa Inggeris.
Tidak hairanlah dia dapat menghasilkan enam lagu, kesemuanya dalam bahasa Tamil. Lagu yang dinyanyikan olehnya menjadi tular dan seakan-akan ‘berhantu’ kerana lirik lagu tersebut meniti di bibir masyarakat.
Ketika dia turun padang di bumi Pulau Pinang baru-baru ini, kesepakatan dan kemeriahan terserlah apabila semua rakyat tanpa mengira bangsa turut bersama-sama menyanyikan lagu itu.
Walaupun ALLAH SWT menarik nikmat sebelah tangannya, namun ia bukan penghalang Zubir Khan berjaya. Mengimbas kembali detik kehilangan sebelah tangannya, pemuda itu memberitahu dia dilahirkan normal, namun ketika berusia empat tahun, tangannya termasuk ke dalam mesin membuat kek.
Dia juga tidak menyangka kekurangan dialaminya itu dapat membuatkan rakyat pelbagai kaum di negara ini bersatu padu walaupun berbeza agama dan bangsa. Dengan hanya sebuah lagu Tamil, dia berjaya merapatkan hubungan antara kaum.
Bukan sahaja Zubir Khan, turut tular baru-baru ini rakaman seorang gadis beragama Hindu yang membaca surah daripada kitab suci al-Quran menerusi live di TikTok. Gadis bernama Divya Darshini menjadi perhatian ramai apabila dia dapat membaca surah An-Nas termasuk sebahagian ayat Kursi secara live.
Menurut gadis yang mesra disapa Divya, dia sudah menghafal beberapa surah al-Quran sejak usianya seawal lima tahun. Menurutnya, dia mendalaminya ketika dijaga oleh pengasuh beragama Islam di Kuala Lumpur sehingga usianya 16 tahun.
Menurut Divya lagi, dibesarkan dengan pengasuh beragama Islam menyebabkan dia selalu mendengar pengasuhnya mengajar iqra dan membaca al-Quran.
Pada mulanya, dia hanya mendengar, namun lama-kelamaan dia tertarik dan ikut belajar. Selain membaca surah dalam al-Quran, Divya turut mengikuti terjemahannya bagi mengetahui maksud bacaan.
Sepanjang dijaga pengasuh yang mesra dipanggil Kak Ida, malah dianggap seperti ibu, Divya turut diperdengarkan dengan kisah nabi dan berpuasa di bulan Ramadan.
Menurut Divya yang berusia 28 tahun, dia bagaimanapun tidak menyangka masih mengingati surah-surah tersebut kerana lebih sedekad tidak membacanya. Dia hanya belajar dan baca di rumah pengasuh, kadang-kadang berada di sana lapan hingga 10 jam atau seminggu jika ibu bapanya outstation.
Seperti juga Zubir Khan dan Divya, seorang kanak-kanak lelaki berbangsa Cina fasih bercakap dalam bahasa Tamil. Video yang dimuat naik @kartik_suresh menunjukkan dia dan anak jirannya, Kai Kai Sedang sibuk membuat mango lassi.
Ketika Kai Kai menyuruh Kartik cepat, dia bercakap dalam bahasa Inggeris, namun slangnya seperti orang berbangsa Cina.
Berdasarkan kisah rare ketiga-tiga individu itu, terbuktilah Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang harmoni. Kita dapat hidup sebagai satu keluarga besar walaupun berbeza agama, budaya dan bangsa. Kita hidup aman ramai tanpa persengketaan. Itulah keunikan yang terdapat di Malaysia.
Sempena Hari Kemerdekaan pada Ogos dan Hari Malaysia pada September, marilah kita sama-sama terus mengekalkan keharmonian pelbagai kaum yang dibina sehingga kini. Malaysia tumpah darahku tercinta!
* Juliana Rosdi ialah Penyunting Sinar Harian
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!