KECOH betul di media sosial sekarang gara-gara rekaan pakaian rasmi atlet negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Netizen kata, pakaian tersebut ‘menyakitkan mata’ dan lebih sesuai dipakai untuk sukan sekolah berbanding ke temasya sukan terbesar dunia empat tahun sekali itu.
Ramai yang kecam dan kritik, malah ada juga beberapa peminat sukan tanah air ‘mencantikkan’ semula pakaian rasmi daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu mengikut kreativiti masing-masing.
Sejujurnya Merak Jalanan pun rasa tak naik semangat lihat baju tersebut. Nampak ‘hambar’. Rekaan pun ‘biasa-biasa’ sahaja jika dibandingkan dengan edisi-edisi sebelum ini.
Katanya:"Tiada guna baju lawa tapi tak dapat pingat emas.”Ya betul, kutipan pingat tidak ditentukan dengan cantik atau tidak baju atlet sebab selama ini baju cantik pun, kita masih gagal dapatkan pingat emas Olimpik pertama negara. Tapi penampilan juga penting supaya rasa yakin.
Pakaian itu adalah imej. Orang akan nampak kita hebat dan rasa gerun. Lagipun kalau baju cantik, mesti ramai rakyat kita nak beli untuk dipakai dengan semangat kesukanan yang tinggi.
Lagi satu, Malaysia ada ramai atlet mahu pun model yang kacak, yang cantik, yang tegap, yang sedap mata memandang tetapi kenapa memilih patung seperti baru bangun tidur untuk majlis pelancaran besar di tempat yang gah?
Yang diselubung kain hitam, kononnya nak bawa elemen sense of surprise. Memang menjadi betul kejutan tersebut.
Apa pun, Merak Jalanan tetap beri sokongan kepada atlet negara yang membawa cabaran Malaysia. Semoga dengan pakaian bertemakan ‘emas’ itu akan membarakan semangat semua atlet, sekali gus merealisasikan impian meraih pingat emas sulung Malaysia di pentas Sukan Olimpik nanti.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!