SHAH ALAM - Hukum menggunakan aplikasi cari cinta bagi pasangan yang sudah berkahwin sehingga membawa kepada perbuatan maksiat, fitnah, penipuan dan meruntuhkan rumah tangga sendiri atau orang lain adalah haram di sisi Islam.
Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd berkata, terdapat sebahagian aplikasi tersebut tidak patuh syariah dan boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.
Menurutnya, hukum suami mencari jodoh menerusi aplikasi boleh menjadi harus jika isteri sedia ada memberi keizinan atas faktor tertentu seperti tidak lagi mampu memenuhi keperluan suami.
Namun kata beliau, ia perlu dilakukan dengan betul dan memastikan tiada sebarang unsur maksiat, fitnah dan penipuan.
"Jika aplikasi itu tidak membawa ke arah maksiat, zina dan pembohongan maka aplikasi itu harus dan dibenarkan kerana individu khususnya lelaki yang terlibat dengan aplikasi tersebut bertujuan mencari bakal isteri yang boleh menjaga dirinya dan keluarga. Maka perbuatan tersebut dibolehkan.
"Masalahnya kalau dia gunakan untuk menipu wanita lain, maka perbuatan itu bertukar menjadi haram kerana terdapat unsur maksiat,” katanya.
Pendakwah bebas, Haslin Baharin pula berkata, lambakan aplikasi cari jodoh menyebabkan perlakuan itu sukar dikawal dengan kebanyakan platform tersebut tidak mematuhi hukum syarak.
Tambah beliau, platform mencari jodoh dalam talian perlu meletakkan syarat khusus terutama kepada pasangan yang sudah berkahwin bagi mengelakkan keruntuhan institusi keluarga.
"Kalau boleh kena ada pemantauan yang khusus terhadap aplikasi itu. Ia mesti ada terma dan syarat, misalnya khusus untuk mereka yang belum berkahwin atau yang sudah tidak ada pasangan sahaja supaya tidak menjejaskan hubungan,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!