Sambutan pelajar amat luar biasa

Iklan
Masita (dua dari kiri) bersama pegawai JPNS menunjukkan poster Karnival Rakyat Karangkraf.

SHAH ALAM - Tiga pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) sempena Karnival Rakyat Karangkraf yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Julai ini mendapat sambutan luar biasa dari sekolah di seluruh Selangor.

Lebih 4,600 penyertaan diterima bagi tiga kategori pertandingan iaitu bercerita, deklamasi sajak dan syair.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid JPNS, Masita Leman berkata, pihaknya kini dalam proses menyaring finalis bagi peringkat akhir yang akan berlangsung di Kompleks Karangkraf di sini.

Karnival Rakyat Karangkraf akan berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada 26 hingga 28 Julai ini.

"Kesemua finalis akan diumumkan pada 1 Julai ini di semua platform Sinar Harian dan hebahan juga akan dibuat kepada sekolah-sekolah,” katanya di sini pada Khamis.

Iklan

Jelas beliau, Karnival Rakyat Karangkraf merupakan platform terbaik untuk JPNS membuka lebih banyak peluang kepada pelajar khususnya di Selangor untuk menyertai pertandingan.

"Karnival yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-18 Sinar Harian ini disambut baik oleh pihak sekolah. Penyertaan yang diterima amat memberangsangkan,” katanya.

Masita (dua dari kiri) bersama pegawai JPNS menunjukkan poster Karnival Rakyat Karangkraf yang akan berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada 26 hingga 28 Julai depan.

Iklan

Karnival Rakyat Karangkraf membawa kelainan apabila mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan.

Ia melibatkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat dan pentas rakyat.

Mengulas lanjut, Masita berkata, pertandingan yang akan diadakan sepanjang tiga hari karnival berlangsung itu merupakan peluang terbaik bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang budaya masyarakat tradisional dahulu kala.

Ujarnya, ia juga membuka dimensi baharu buat pelajar generasi kini untuk meneroka nostalgia seperti cerita dongeng zaman dahulu yang sarat dengan teladan dan pengajaran.

"Untuk itu, guru-guru dan ibu bapa dijemput hadir karnival ini pada tarikh ditetapkan bagi merebut peluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang akan diadakan.

"Sekolah-sekolah juga berpeluang memenangi wang tunai RM5,000 bagi kategori Sekolahku Meriah yang mengambil kira kehadiran teramai. Jadi, guru-guru bawalah pelajar dan ibu bapa hadirlah bersama anak masing-masing,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!