Dua anggota polis didakwa terima suapan RM3,000

Iklan
Gambar hiasan

KUANTAN - Dua anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima dan mendapatkan suapan bernilai keseluruhan RM3,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, Koperal Muhammad Fahmie Fesal, 27, dan Lans Koperal Faizal Abdul Shukor, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, Faizal didakwa enam pertuduhan menerima rasuah keseluruhan berjumlah RM1,800 dari seorang penjual rokok seludup, Wong Kok Wei pada Mei, Jun, Ogos, September, Oktober dan November 2017.

Sementara itu, Muhammad Fahmie didakwa empat pertuduhan mendapatkan suapan keseluruhan RM1,200 daripada individu sama pada Mei, Jun, Ogos dan September 2017.

Iklan

Kesemua wang tersebut diserahkan kepada kedua-dua tertuduh menerusi akaun milik tertuduh di dua buah bank berasingan di Jalan Beserah di sini.

Pendakwaan terhadap Faizal dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama. Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Iklan

Sementara pendakwaan terhadap Muhammad Fahmie dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM6,000 seorang dan menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Sarah Zainal Abidin.