[VIDEO] 100 merpati dilepaskan simbolik 100 tahun Tambak Johor

Iklan

JOHOR BAHRU - Sambutan 100 tahun Tambak Johor pada pagi Jumaat, menyaksikan 100 burung merpati dilepaskan di titik tengah sempadan Malaysia-Singapura di atas Tambak Johor.

Kemuncak sambutan itu disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Iklan
Iklan

Tunku Mahkota Ismail turut menyaksikan pertukaran cenderamata antara Onn Hafiz dan dan Vivian.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor tiba tepat jam 9 pagi di titik tengah sempadan sebelum disambut Onn Hafiz dan Vivian.

Iklan

Sejurus tamat acara sambutan ringkas, Onn Hafiz dan semua barisan Exco Johor melawat pameran 100 Tahun Tambak Johor di Muzium Tokoh Johor Bahru.

Onn Hafiz (dua dari kanan) bertukar cederamata dengan Vivian disaksikan Tunku Mahkota Johor sempena sambutan 100 tahun Tambak Johor, pada pagi Jumaat. 100 ekor burung dilepaskan tanda sambutan 100 tahun Tambak Johor yang menghubungkan Johor dan Singapura. Foto FB HRH Crown Prince of Johor

Tambak Johor merupakan nadi penghubung terpenting dua negara dan menjadi pintu sempadan darat yang tersibuk di dunia.

Iklan

Struktur binaan sepanjang 1.05 kilometer (km) merentasi Selat Johor dibuka secara rasmi pada 28 Jun 1924.

Sambutan 100 tahun Tambak Johor eratkan lagi hubungan Johor, Singapura

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, hubungan akrab antara Johor dan Singapura dipereratkan lagi dengan sambutan 100 tahun Tambak Johor pada Jumaat.

Katanya, sambutan di tengah Tambak Johor itu cukup bermakna kepada Malaysia dan Singapura.

"Alhamdulilah pada pagi Jumaat, kita lihat sendiri sambutan 100 Tahun Tambak Johor. Sudah tentu ia sangat signifikan untuk warga Johor, Malaysia dan Singapura.

"Kerajaan Johor menjunjung kasih ke atas keberangkatan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sudi mencemar duli menghadiri sambutan 100 Tahun Tambak Johor.

"Kita harap sambutan ini akan mengukuh dan eratkan lagi semangat kejiranan antara Johor, Malaysia dan Singapura," katanya dalam sidang akhbar di Muzium Tokoh dekat sini pada Jumaat.

Acara sambutan 100 tahun Tambak Johor turut dihadiri Memteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Sebanyak 100 burung merpati dilepaskan pada sambutan 100 tahun Tambak Johor yang diadakan di titik tengah sempadan Malaysia-Singapura di atas tambak berkenaan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz memberitahu, beliau bersama delegasi kerajaan Johor akan menyertai sambutan rasmi 100 Tahun Tambak Johor di Singapura, tengah hari Jumaat.

"Saya dan rombongan kerajaan Johor akan ke Masjid Teluk Belanga, Singapura untuk solat Jumaat.

"Selepas itu, ada satu program bersama kerajaan Singapura di Woodlands Civic Centre untuk acara sambutan 100 Tahun Tambak Johor, di sana pula," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!