KUALA LUMPUR - Tindakan berani seorang warga asing membawa anak kecil menaiki motosikal tanpa lesen dan cukai jalan mengundang padah apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) pada Rabu malam.
Pengarah JPJ WPKL, Mohd Zaki Ismail berkata, lelaki warga asing terbabit ditahan semasa dalam perjalanan dari Pantai Dalam ke Jalan Ipoh dekat sini.
Menurutnya, lelaki terbabit mengambil risiko dengan membawa anak kecil berusia lebih kurang lima tahun tanpa memiliki lesen memandu sah dan cukai jalan.
"Selain itu, dia juga menunggang motosikal tanpa lesen yang sah sejak empat tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata, pihak JPJ telah mengambil tindakan sitaan ke atas motosikal terbabit dan pemiliknya boleh menuntutnya kembali setelah urusan cukai jalan diperbaharui.
"Kita terpaksa menyita kenderaan lelaki terbabit bagi melindungi semua pengguna jalan raya lain.
"Selain itu, ia juga bertujuan memastikan pemandu yang mempunyai lesen sah sahaja boleh membawa motosikal terbabit, seterusnya mendidik orang ramai agar mematuhi undang-undang negara," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!